PENDANG – Pengikut fahaman Syiah di Kedah kecewa dengan tanggapan
orang ramai bahawa mereka kafan jenazah menggunakan kain hitam dan
kebumikan jenazah dalam keadaan berdiri.
Ketua Syiah Kedah, Abdullah Hassan berkata, Syiah di negara ini
menguruskan jenazah pengikut mereka dengan baik, sama dengan cara
dilakukan pengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Banyak jenazah telah diuruskan, sama ada daripada keluarga
(berfahaman) Syiah atau mana-mana pihak yang mewasiatkan untuk mayat
diuruskan mengikut (amalan) Syiah.
“Jenazah dikapankan dengan kain putih. Bezanya (dengan amalan Ahli
Sunnah Wal Jamaah) ialah kain itu tertulis dengan doa-doa dan dibeli
dari Iran," katanya.
Abdullah juga menafikan dakwaan bahawa Syiah pernah merampas jenazah
untuk diuruskan pengebumian mengikut fahaman Syiah di Kuala Kedah.
Jelasnya, beliau mengambil jenazah seorang ahli Syiah dari Kuala
Kedah untuk diuruskan mengikut fahaman Syiah kerana si mati telah
mewasiatkan secara bertulis kepada beliau dan kepada keluarga si mati
secara lisan supaya berbuat demikian ketika sedang sakit di Hospital
Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.
Beliau juga sifatkan dakwaan ada kubur seorang wanita berfahaman
Syiah di Kuala Rimau, Pendang, ghaib sebagai direka untuk disensasikan
pihak tertentu.