Bekas ratu cantik, Pauline Chai mendakwa
suaminya yang juga seorang jutawan, Tan Sri Khoo Kay Peng memperlakukan
hidupnya seperti banduan di sebuah estet berkeluasan 404 hektar (ha) di
Britain.
Bercakap di khalayak ramai buat pertama
kalinya selepas memfailkan petisyen penceraian berprofil tingggi ke atas
Khoo pada Februari, Chai, 66, mendakwa dia tidak boleh meninggalkan
rumah tanpa kebenaran Khoo.
Beliau berkata, pekerjanya turut
memaklumkan kepada Chai dalam satu e-mel bahawa dia hanya boleh
membelanjakan £50 (RM248.38) seminggu untuk membeli makanan.
“Buah-buahan dan sayur-sayuran
dibenarkan untuk makan tetapi saya tidak boleh makan sesetengah makanan
yang diingini. Anak perempuan saya berkata kepada saya bahawa saya
diperlakuan seperti seorang hamba,” katanya dalam satu laporan oleh
sebuah tabloid British, Daily Mail.
Chai, yang juga Miss
Malaysia/International 1969, meluahkan rasa gembira selepas memfailkan
penceraian dengan berkata dia berasa terlalu ‘dikongkong dan sunyi’
sepanjang perkahwinannya suatu ketika dulu.
“Sepanjang perkahwinan kami, dia terlalu mengongkong saya tetapi sekarang segalanya sudah berubah. Saya lebih bebas,” katanya.
Beliau berkata tidak pernah bercakap
dengan suaminya selama setahun dan mereka tinggal berasingan di rumah
agam bernilai 30 juta pound (RM149 juta) di sebuah estet di Rosway Park,
dekat Berkhamsted, Hertfordshire.
Akhbar tabloid itu turut melaporkan Khoo
dan Chai mempunyai pengawal keselamatan Gurkha sendiri untuk melindungi
kawasan mereka di estet itu di mana Khoo tinggal dalam rumah agam
dengan lima bilik tidur manakala Chai di ruang utama yang menempatkan 15
bilik tidur.
Buat masa ini, Khoo, 74, yang turut
tersenarai antara 50 individu terkaya Malaysia yang disenaraikan Forbes
dan Chai, terlibat dalam penyelesaian kes penceraian terbesar dalam
sejarah Britain.
Chai mungkin menerima pampasan sehingga
500 juta pound (RM2.375 bilion) oleh Mahkamah Tinggi London, separuh
daripada harta kekayaan Khoo ketika para peguam berusaha keras untuk
membahagikan sama rata harta asas mereka.
Chai menyatakan ‘tingkah laku yang tidak munasabah’ sebagai alasan untuk penceraian itu.
Khoo memiliki 40 peratus pemilikan ke atas jenama antarabangsa, Laura Ashley.
Beliau juga merupakan pengerusi dan
ketua eksekutif kumpulan Syarikat Malayan United Industries serta
Pengarah Corus Hotel Limited di Britain.
Mereka berkahwin pada 1970 dan dikurniakan lima orang anak.
Akhbar itu turut melaporkan Khoo mahu
kes itu dibicarakan di Malaysia di mana Chai akan menerima pampasan yang
lebih sedikit berbanding yang bakal diterima di Britain.
Bagaimanapun, Chai menentang keputusan
itu kerana dia tidak menjadi rakyat Malaysia selama 30 tahun dan berkata
dia amat menyukai England dan segalanya di negara itu.
“Saya tinggal di sini untuk tempoh lama. Saya mahu pengadilan di England kerana ia adil. Itu permintaan saya,” katanya.
Chai akan diwakili peguam penceraian terkenal Britain, Ayesha Vardag manakala Khoo diwakili Fiona Shackleton.
Baru-baru ini Shackleton mewakili chef
Britain, Nigella Lawson untuk kes penceraiannya dengan jutawan
pengiklanan, Charles Saatchi.
Turut menggunakan khidmat Shackleton adalah Putera Charles dan mendiang isterinya, Puteri Diana.
Perbicaraan awal kes ini akan diadakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang. - mStar Online