Bedong - Kegembiraan untuk mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri bertukar
tragedi apabila seorang kanak-kanak perempuan maut setelah tergelincir
ke dalam kolam terbiar di Kampung Baru Thye Eng, Bedong dekat sini,
semalam.
Nur Atika Mahadzir, 12, dikatakan tergelincir ketika cuba mengambil
seliparnya yang terjatuh ke dalam kolam itu kira-kira pukul 5 petang.
Rakannya, Nur Najwa Mohd Ahair, 14, berkata dia bersama Nur Atika dan
tiga lagi rakan lain iaitu Ainur Atikah Mohd Yazid, 12, Nadia Jamil,
14, dan Saidatul Najwa Shukri, 12, ke kolam berkenaan untuk mengajak
sepupunya yang sedang memukat ikan di situ mengunjungi rumah terbuka
Aidilfitri di kawasan berhampiran.
"Kami menaiki dua buah motosikal ke lombong itu. Masa nak balik,
Atika tergelincir dan seliparnya jatuh ke dalam lombong, dia cuba ambil
dengan berpaut pada kami tetapi kejadian yang tidak diduga berlaku.
"Dalam keadaan kelam kabut, hampir 11 remaja lelaki dan perempuan
yang ada di situ, termasuk kami berempat, terjun ke dalam kolam untuk
menyelamatkan Atika namun gagal," katanya ketika ditemui di rumah mangsa
hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk di kawasan itu Mohd Sofi Md Zain, 36,
berkata, beliau tiba di tempat kejadian pada pukul 5.45 petang selepas
dimaklumkan bahawa ada kanak-kanak lemas di kolam itu.
"Pada mulanya, saya sangka anak saya, tetapi bila tiba di sana, saya
lihat anak saya ada di tepi kolam. Saya terjun ke dalam kolam dan kali
kedua menyelam baru saya temui kakinya dan terus menariknya ke atas,"
katanya.
Mayat Nur Atika dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di
sini untuk bedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bedong
kira-kira pukul 10 pagi ini.
Difahamkan, anak sulung kepada pasangan Siti Rahmah Husin, 46, dan
Mahadzir Sinin, 42, itu merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri
Aman, Bedong, dan bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah
Rendah (UPSR) bulan depan.
Rakan sekolahnya, Ainur Atikah berkata Nur Atika yang mempunyai
seorang adik, Shahbani, 6, merupakan pelajar cemerlang di sekolah dan
memperoleh keputusan 4A 1B dalam peperiksaan percubaan UPSR.
"Dia dikategori sebagai 12 pelajar terbaik dan pada ujian percubaan
sebelum ini, dia menduduki tempat keempat terbaik," katanya. - BERNAMA