BANTING - Seorang lelaki berusia 24 tahun tergamak merogol seorang
gadis yang mengalami masalah lembam di depan isterinya dalam sebuah
rumah di Jalan Masjid Kanchong Darat, Sabtu lalu.
Kejadian berlaku jam 5 petang ketika mangsa yang berusia 19 tahun itu
tinggal berseorangan di rumahnya sebelum pasangan terbabit datang.
Adalah dipercayai isteri suspek juga seorang lembam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Nordin Manan ketika
dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu kes disiasat mengikut
Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan polis menyifatkan kes
berkenaan sudah selesai.
“Kami sudah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan di Morib
kelmarin, sejurus polis menerima laporan mengenai kejadian itu dan
sedang memohon perintah tahanan reman,” katanya.
Harian Metro difahamkan, mangsa mengalami masalah
lembam serta tidak bekerja dan pada hari kejadian ibu mangsa keluar
bekerja manakala adiknya mengikuti pengajian di pusat pengajian tinggi
di Shah Alam.
Selepas menyedari mangsa tinggal berseorangan, suspek
masuk ke rumah mangsa lalu menolaknya ke sofa dan
merogolnya.
Berikutan kejadian itu, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis
Banting sejurus mangsa mengadu mengenai kejadian itu sebelum dia
dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk
pemeriksaan. - HM
LEMBAM segi fizikal sama seperti orang normal yang
lain, bezanya mereka menghadapi masalah dari segi kemahiran berfikir dan
bertindak. Golongan ini dikategorikan dalam Orang Kurang Upaya
(OKU)