KUALA LUMPUR - Seorang mangsa culik diselamat sementara lima
lelaki yang dipercayai menculiknya ditahan di sebuah kondominium di
Jalan Tiong Nam di sini lewat malam semalam.
Mangsa berumur 43 tahun yang merupakan warga Bangladesh sementara
suspek yang berumur antara 21 hingga 43 tahun juga merupakan rakyat
Bangladesh.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah
berkata, mangsa yang juga seorang peniaga diculik dua hari lepas di
Jalan Putra di sini dan para penculik meminta wang tebusan bernilai
RM40,000 daripada keluarga mangsa di Bangladesh.
Beliau berkata, pihak polis menerima laporan daripada keluarga mangsa
yang memaklumkan mangsa telah diculik dan mereka diminta membayar
sejumlah wang sebagai tebusan.
"Suspek turut didakwa meminta RM60,000 selepas menerima wang sebanyak
RM40,000 daripada keluarga mangsa yang dipercayai dibayar melalui bank.
"Hasil siasatan mendapati, sebelum menculik mangsa, suspek mengetahui
bahawa mangsa adalah orang kaya," kata Ku pada sidang akhbar di Ibu
pejabat Polis Kuala Lumpur di sini hari ini. Kes disiasat di bawah
Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961. - BERNAMA