"Malaikat lindungi kami.."

*hiasan
Ipoh: “Mungkin malaikat bantu melindungi kami. Saya sendiri tidak percaya masih hidup,” kata Zarina Kamaruddin, 23, yang terselamat selepas sebatang pokok besar tumbang menghempap kereta dipandunya, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, sebatang pokok sebesar tiga pemeluk dan setinggi 20 meter tumbang sebelum menghempap kereta mangsa yang melalui Jalan Abdul Jalil, di sini.

Ketika kejadian mangsa dan tunangnya yang mahu dikenali sebagai Asmawi, 20, dikatakan baru saja berbuka puasa di sebuah restoran berhampiran Stadium Indera Mulia, di sini.

Zarina berkata, dia yang memandu kereta pulang ke rumah terkejut melihat pusaran angin berwarna putih melalui kawasan itu bersama hujan lebat.

“Secara tiba-tiba sebatang pokok besar tumbang sebelum menghempap sisi kiri kereta Proton Persona yang saya pandu. Kesan hentaman kuat itu menyebabkan pintu bahagian kiri kereta tidak boleh dibuka manakala cermin pintu serta hadapan kenderaan pecah.

“Kami terpaksa merangkak keluar melalui pintu sebelah kanan kenderaan yang ditutupi ranting dan dahan kayu. Sebaik berjaya keluar dari kenderaan, kami dapat melihat batang pokok besar itu tumbang betul-betul di sisi tepi kereta saya,” katanya.

Menurutnya, mereka pasti maut jika pokok seberat lebih satu tan itu menimpa tepat bumbung kereta.

Sementara itu, kejadian angin kencang selama 10 minit itu turut menyebabkan seorang pengawal keselamatan maut selepas ditimpa dahan pokok ketika melalui Jalan Ghazali Jawi berhampiran Stadium Indera Mulia, di sini.

Mangsa, R J Ramu, 55, dari Taman Restu Jaya, Bercham, yang menunggang motosikal bersendirian mati serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.