Misteri kehilangan seorang lelaki warga
Indonesia sejak 20 Julai lalu berakhir apabila mayatnya ditemui orang
awam dalam keadaan menyayat hati dengan 54 tikaman dan torehan di muka,
kepala dan seluruh badan empat hari kemudian.
Mangsa dikenali Rustam Sugi, 59, yang juga seorang kontraktor
ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dan telentang di dalam semak
samun bersama sebilah pisau di Kampung Jenderam Hilir pada 24 Julai
lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman berkata, sebelum ini, mangsa dilaporkan hilang oleh adik iparnya pada 20 Julai lalu dipercayai diculik.
Beliau berkata, berpandukan laporan diterima, pihaknya turut
menahan seorang suspek berumur 21 tahun di Sungai Merab, Bangi pada 21
Julai lalu berhubung penculikan mangsa itu.
“Siasatan awal mendapati, mangsa sudah 10 tahun menetap di Malaysia dan hasil bedah siasat mendapati, mangsa maut akibat tikaman di dada.
“Kematian mangsa juga dipercayai ada kaitan dengan motif dendam,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Dalam kes berasingan, Imran berkata, pihaknya menahan seorang
lelaki berusia 39 tahun di Taman Wang Permai, Kota Warisan pada 26 Julai
lalu selepas didapati membawa sepucuk pistol bersama lapan butir
peluru.
“Suspek ditahan ketika dalam keadaan mencurigakan sambil membawa sebuah beg plastik putih ditangan kanannya. Dua anggota polis yang sedang meronda kawasan berkenaan berjaya mengesan suspek sebelum mendekatinya.
“Sebaik didekati, suspek tiba-tiba bertindak ganas dan cuba
meloloskan diri. Berlaku sedikit pergelutan di antara suspek dengan dua
anggota polis berkenaan sebelum suspek akhirnya diberkas,” katanya.
Katanya, siasatan awal mendapati, suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau termasuk berkaitan kes samun, dadah dan rusuhan.
Imran berkata, suspek juga dikehendaki kerana terbabit dalam kes samun di Serdang.
“Selain itu, ujian air kencing mendapati suspek turut positif ganja malah, pernah dipenjarakan pada tahun 1992 dan kali terakhir tahun 2010 kerana kesalahan dadah.
“Suspek ditahan reman hari ini (semalam) dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37),” katanya.
Katanya, suspek juga akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut mengenai pertuduhan samun. - Metro