*gambar hiasan |
Alor Setar: “Saya terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat
kira-kira 100 meter di depan rumah lalu berlari untuk melihat apa
berlaku. Saya mendapati berlaku kemalangan antara sebuah lori tangki
dengan kereta.
“Ketika itu, saya nampak dua mangsa dalam kereta itu tidak
sedarkan diri, malah seorang daripadanya dipercayai sudah tidak bernyawa
apabila banyak darah di kepalanya,” kata seorang saksi kemalangan yang
mahu dikenali sebagai Ali.
Ali, 50-an, berkata, ketika kejadian, dia sedang memesin rumput di halaman rumahnya di Batu 6, Jalan Alor Setar-Sungai Petani, dekat sini, sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat kemalangan kira-kira jam 4.30 petang.
Katanya, dia ternampak seorang wanita yang berada dalam kereta
berkenaan masih bergerak sebelum pengsan, manakala pemandu lelaki sudah
meninggal dunia akibat badannya tersepit pada stereng kenderaan itu.
“Saya cuba untuk membantu wanita itu kerana yakin dia masih hidup, tetapi tidak berani kerana bimbang keadaannya bertambah buruk menyebabkan saya menghubungi ambulans dan polis untuk memaklumkan kejadian itu.
“Pada waktu sama, saya cuba mengintai dalam kereta itu kerana bimbang mungkin ada penumpang lain dalam kenderaan berkenaan, tetapi mendapati hanya dua mangsa berada di dalamnya,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Ali berkata, laluan berkenaan yang juga jalan lama ke Sungai Petani
kerap berlaku kemalangan maut, malah boleh dikatakan hampir setiap
tahun banyak nyawa yang terkorban akibat kemalangan di kawasan itu.
Katanya, sikap pengguna jalan raya yang memandu laju atau memotong kenderaan lain di kawasan itu sesuka hati menyebabkan kerap berlaku kemalangan walaupun jalan raya di situ lurus dan tidak mempunyai selekoh berbahaya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner
Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya meminta orang ramai yang menyaksikan
kemalangan itu supaya menghubungi talian 04-7321222 sambungan Cawangan
Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk membantu siasatan. - Metro