PETALING JAYA – Wanita yang mencetuskan kontroversi menerusi video
sambutan Aidilfitri bersama tiga anjing peliharaannya direman selama dua
hari sehingga Jumaat.
Maznah Mohd Yusof, 38, direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, Johor setelah diambil keterangan di Bukit Aman pada Rabu.
Polis menahan Maznah selepas didakwa membuat video kontroversi
menyambut Hari Raya bersama tiga ekor anjing dan kes itu disiasat
mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
Maznah dipercayai individu yang memuat naik video itu tiga tahun lepas di YouTube.
Rakaman video selama 1 minit 44 saat itu, memaparkan seorang individu
membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dekat perkarangan masjid
dengan menggunakan suara latar Takbir Raya.
Video itu turut menunjukkan individu itu yang memakai Baju Melayu
hitam membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah mengambil wuduk dengan
membasuh kakinya pula dan mengelap anjingnya sebelum menyediakan kuih
raya untuk tiga ekor anjing itu.
Video itu juga menyiarkan kata-kata “Raikanlah Aidilfitri
bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan
menunjukkan gambar tiga anjing itu). – mStar Online