Maznah Chetz "rosak" sejak di US, dakwa bapa saudara

Hari ini Maznah Mohd Yusof, 38 tahun atau Chetz sudah pun dibebaskan dengan bon Mahkamah selepas ditahan reman sejak semalam.

Dia ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan selepas merakamkan video sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama tiga ekor anjingnya yang dimuatnaik kei laman sosial YouTube tiga tahun lalu.

Selepas enggan memohon maaf kerana dia rasa dia tidak melakukan kesalahan, semalam bapa saudaranya Wahid Togom, 57 tahun membuat permohonan maaf bagi mewakili seluruh keluarga dan wanita itu sendiri.

Menurutnya beliau sedia memohon maaf walaupun untuk seribu kali demi menghormati saudara se-Islam yang lain di bulan Ramadan ini.

Memetik laporan Utusan Online, Wahid berkata Maznah atau mesra dipanggil Mai oleh keluarga telah dibesarkan oleh bapanya iaitu Togom Yanang sejak berusia setahun sehingga tamat persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Temenggong Ibrahim (TIGS) di Batu Pahat, Johor.

“Semasa kecil Mai tidak melakukan tindakan yang bertentangan dengan ajaran agama sebaliknya dia juga cemerlang dalam pelajaran termasuk mata pelajaran agama Islam.

“Tetapi segalanya berubah selepas dia pulang daripada menyambung pelajaran di Amerika Syarikat (AS). Mungkin dia telah terpengaruh dengan gejala sosial sehingga mengamalkan gaya hidup yang pelik di negara ini,” katanya di rumahnya di Jalan Perserai di Batu Pahat.

Tambah Wahid, tindakan Maznah juga turut menjejaskan nama baik bapanya (Togom) yang juga seorang penangkap dan penjinak buaya terkenal di negara ini sekitar 1970-an.

Menurut Wahid, keluarganya turut akur dengan tindakan pihak berkuasa yang menahan Maznah ketika ini dan berharap anak saudaranya itu diberikan hukuman yang mampu memberikan keinsafan.

“Saya dan isteri telah puas berdoa supaya Mai insaf, mungkin inilah jalannya (hukuman) yang dapat menginsafkan dia daripada hidup dengan cara yang bertentangan dengan suruhan agama.

“Walaupun ibu dan bapanya tidak menjaganya sejak kecil namun saya yakin mereka antara orang yang kecewa dengan tindakan Maznah yang memalukan itu,” katanya.

Dalam pada itu, adik Maznah, Zuraimi, 35, yang kini menetap di Taman Kota Masai, Pasir Gudang dan keluarga mereka di Taman Sungai Abong di sini kecewa tetapi tidak terkejut dengan kewujudan video itu kerana sudah pun mengetahuinya sejak 2010.

“Ayah saya, Mohd. Yusof sudah menasihatkannya supaya tidak melakukan perbuatan itu. Kami sudah puas menegurnya sejak awal lagi. Ini mungkin ada kena-mengena dengan gaya hidupnya yang bebas dan sebagai seorang tomboi,” ujarnya.

Dalam salah satu posting di blognya, Maznah kata pada mulanya keluarganya tidak bersetuju tetapi selepas diterangkan mereka faham. Rupa-rupanya tak faham. – mynewshub.my