KUBANG PASU 3 Ogos - Unit Pencegah Penyeludupan
(UPP) merampas 20 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun bernilai
RM16,000 di kuarters guru Bukit Kayu Hitam, di sini semalam.
Komander UPP Bukit Kayu Hitam, Shahidan Ladin berkata, pihaknya
memperoleh maklumat daripada orang awam, menjalankan intipan di kuarters
guru tersebut yang tidak berpenghuni mulai pukul 9 malam.
Katanya, selepas menunggu selama empat jam didapati tiada sesiapa
datang untuk mengambil barangan itu dan pihaknya membawa mercun-mercun
itu ke pejabat UPP sebelum diserahkan kepada pihak kastam untuk tindakan
lanjut.
"Mercun-mercun ini yang semuanya daripada jenis 'sunshine' dilonggokkan di tepi pagar kuarters tersebut.
"Pihak kami percaya mercun tersebut baru sahaja dilonggokkan di situ
dan pemiliknya akan membawa keluar mercun tersebut pada waktu pagi.
"Kami juga yakin kegiatan tersebut tidak dilakukan seorang diri dan
mereka menyeludup mercun dari negara jiran secara berkumpulan," katanya
ketika ditemui di Kompleks UPP Bukit Kayu Hitam semalam.
Menurut Shahidan, pihaknya percaya kesemua mercun itu diseludup
menggunakan laluan tikus yang terletak kira-kira dua kilometer dari
kuarters guru itu.
"Penyeludup tidak dapat menyeludup mercun menerusi pintu masuk utama
selepas kawalan di sempadan diperketatkan jadi mereka cuba menyeludup
mercun melalui laluan tikus.
"Pihak UPP akan terus menjalankan pemantauan di lorong-lorong tikus
yang dikesan agar kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan dapat
dibanteras," ujarnya.
Tambahnya, kes ini dirujuk kepada pihak Kastam untuk tindakan lanjut
di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 yang boleh didenda
sebanyak 10 kali ganda nilai barang dan tidak lebih 20 kali ganda nilai
barang atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit
kesalahan. -Utusan