ALOR SETAR 14 Ogos - Kerajaan negeri Kedah yang diterajui Barisan
Nasional (BN) berminat untuk mengeksploitasi potensi daerah yang
bersempadan dengan Thailand dan Pulau Pinang untuk merancakkan
pertumbuhan ekonomi negeri yang terkenal dengan jolokan Jelapang Padi"
Malaysia.
Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, kerajaan negeri
berharap projek Kota Putra dalam daerah Padang Terap dan Kota Perdana
Bukit Kayu Hitam dalam daerah Kubang Pasu, yang kedua-duanya terletak di
sebelah utara Kedah, bersempadan dengan Thailand, akan menggunakan
hubungan dengan kawasan sempadan Thailand sebagai sumber pertumbuhan
ekonomi.
Beliau berkata daerah berkenaan boleh membangunkan projek tarikan
pelancong untuk mengambil peluang kedatangan pelawat dari Thailand yang
mengunjungi negara ini.
"Kenderaan yang masuk dari Thailand (kebiasaannya) akan terus ke
Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor dan tidak singgah pun di Kedah.
"Saya harap kita boleh melakukan sesuatu untuk mewujudkan aktiviti
seperti pusat membeli-belah yang menarik bagi mereka supaya ada
barang-barang yang boleh dibeli di negeri ini," kata pemberita pada
sidang media di sini sempena 100 hari sebagai Menteri Besar Kedah.
Mukhriz berkata, kerajaan negeri juga bercadang untuk mewujudkan satu
hab logistik di utara Kedah untuk mengumpul dan mengedar produk
perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari negeri ini ke seluruh negara
dan Thailand.
Katanya terdapat juga peluang untuk membawa masuk produk dari
Thailand ke hab logistik itu untuk ditambah nilai supaya memenuhi
piawaian halal dan mendapat sijil halal Malaysia untuk pasaran Malaysia
dan dieksport semula.
"Saya rasa cadangan itu adalah cadangan yang baik dan kita sedang
kaji buat masa ini." "Aktiviti ini saya lihat akan memberi kesan di
sebelah utara Kedah untuk mengalami satu fasa pertumbuhan yang pesat
dalam sektor-sektor yang berlainan dari sebelah selatan Kedah," katanya.
Antara kawasan yang terkenal di utara Kedah ialah kompleks membeli
belah bebas cukai Bukit Kayu Hitam yang terletak di sempadan
Malaysia-Thailand manakala di selatan negeri itu lebih dikenali dengan
kewujudan kawasan perindustrian Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).
Sementara itu, Mukhriz berkata kawasan di selatan yang merangkumi
Sungai Petani dan Kulim banyak menerima tempias kepesatan pembangunan
dari Pulau Pinang.
Beliau berkata hubungan antara daerah-daerah itu dengan Pulau Pinang diibaratkan seperti Johor dan Singapura.
"(Dalam hubungan ini) saya berazam untuk membangunkan selatan Kedah
dengan mengambil lebih banyak kesempatan daripada Pulau Pinang,"
katanya.
Katanya, antara lain, lebih banyak perancangan ditujukan untuk
memperbanyakkan aktiviti riadah yang boleh menarik kehadiran warga Pulau
Pinang, terutamanya pada hujung minggu. - BERNAMA