KERAJAAN Kedah yang dipimpin Menteri Besar, Datuk
Mukhriz Mahathir giat menjalankan usaha untuk mentransformasikan
ekonomi negeri dengan mewujudkan peluang pekerjaan, menjana ekonomi
setempat dan meningkatkan hasil secara berterusan selaras dengan slogan
'Kedah Aman, Makmur'.
Bagi mencapai sasaran itu, pelbagai strategi disusun rapi antaranya
memberikan tumpuan terhadap sektor pertanian, pembuatan, pelancongan dan
perkhidmatan logistik yang menawarkan potensi pelaburan besar.
Selepas diberi mandat menerajui pentadbiran Kerajaan Kedah, Mukhriz
mengumumkan perancangan negeri untuk memiliki hab kuasa ekonominya
sendiri dengan menjana aktiviti inovasi tempatan yang mendapat
permintaan tinggi di peringkat global.
Selain itu, kerajaan negeri Kedah memberi komitmen untuk terus
menjayakan agenda program pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara
(NCER) agar muncul sebagai kawasan utama di rantau ini menjelang tahun
2025, dengan matlamat membawa perubahan secara beransur-ansur ke arah
mewujudkan masyarakat moden dan progresif.
Mukhriz juga mengalu-alukan kerjasama daripada sektor korporat untuk memacu agenda pembangunan negeri Kedah.
Dalam masa sama, kerajaan negeri akan mengamalkan pendekatan berhemah
dalam menguruskan kewangannya tanpa menjejaskan tanggungjawab untuk
membangunkan Kedah dan meningkatkan kehidupan rakyat.
Setiap wang yang dibelanjakan mesti memberi pulangan ekonomi kepada
rakyat dan Kedah semula ketika usaha menjayakan segala rancangan
transformasi dilaksanakan kelak selain memastikan perbelanjaan negeri
mesti mempunyai keberhasilan tinggi.
Dalam merangka hala tuju dan pelan tindakan jangka masa panjang untuk
mentransformasikan Kedah sebagai sebuah negeri aman serta makmur,
kerajaan negeri bersetuju menubuhkan sebuah makmal dengan mendapatkan
idea serta cadangan daripada pelbagai pihak bagi menjayakannya.
Makmal transformasi Kedah yang dipandu oleh Unit Perancang Ekonomi
Negeri (UPEN) itu diyakini dapat membantu kerajaan negeri menyusun
strategi lebih menyeluruh mengenai kaedah terbaik untuk mengeksploitasi
kelebihan sedia wujud di Kedah dan mengatasi sebarang kelemahan.
Kerajaan Kedah mengenal pasti beberapa sektor yang mempunyai potensi
untuk dibangunkan secara berkesan iaitu industri pembuatan, Bandar Raya
Getah dan sebuah lagi taman industri teknologi tinggi di Bukit Kayu
Hitam.
Di samping itu, kerajaan negeri juga sedang memperhalusi cadangan
mengenai pembangunan sektor minyak dan gas bagi memastikan
pelaksanaannya memberi manfaat secara menyeluruh.
Satu lagi tumpuan adalah dalam sektor pelancongan yang tidak terhad
kepada Langkawi tetapi melibatkan tanah besar kerana Kedah mempunyai
potensi dalam bidang itu ekoran keunikan alam semula jadi, sejarah dan
warisannya.
Dalam pada itu, seiring dengan pelan transformasi itu, kerajaan
negeri Kedah berusaha meletakkan bidang pendidikan dan pembangunan modal
insan pada tahap lebih baik.
Usaha ke arah itu segera kelihatan dengan pembinaan kampus baharu
Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Alor Setar yang disifatkan Menteri Besar
sebagai langkah seiring dengan perancangan kerajaan negeri untuk
memperkayakan Kedah menerusi pelbagai peluang pendidikan dan kemahiran.
Majlis pecah tanah kampus KPTM Alor Setar itu dirasmikan Mukhriz pada
awal Julai lalu. Pembinaannya dijangka mampu memuatkan 3,500 pelajar
pada satu-satu masa apabila siap sepenuhnya pada pertengahan 2015.
Kampus baharu berkenaan yang dilaksanakan pengurusan KPTM
mencerminkan bandar raya ini semakin pesat membangun dalam erti kata
membawa kemajuan dari segi ekonomi dan sosial masyarakat di negeri
Jelapang Padi.
Sementara itu, Kerajaan Barisan Nasional (BN) Kedah telah dan sedang
menguruskan isu Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang diwarisi daripada
pentadbiran kerajaan negeri terdahulu dengan baik.
Langkah konstruktif diambil oleh Kerajaan Kedah bagi mengembalikan
hak dan kebajikan kakitangan Kuin apabila bersetuju melaksanakan enam
perkara untuk menambah baik kolej universiti itu termasuk menjadikannya
sebagai sebuah badan berkanun negeri.
Langkah-langkah lain ialah kerajaan negeri dan Ahli Lembaga Pengarah
Kuin sebulat suara bersetuju menerima pakai beberapa pekeliling
perkhidmatan yang membolehkan kenaikan gaji kakitangan Kuin di bawah
Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan untuk tujuan kenaikan kadar bantuan
sara hidup sebanyak RM50 sebulan bagi setiap kakitangan.
Menerima pakai pekeliling perkhidmatan bilangan lima tahun 2013 untuk
tujuan pemberian pemindahan gaji kepada kakitangan Kuin mengikut Sistem
Saraan Baru atau lebih dikenali kenaikan satu tangga gaji manakala
langkah keempat ialah kerajaan negeri menerima pakai pekeliling
perkhidmatan bilangan dua tahun 2013 untuk tujuan penambahbaikan jadual
gaji minimum-maksimum kepada kakitangan Kuin berdasarkan SSM.
Pihak Lembaga Pengarah Kuin juga bersetuju menerima pakai
pekeliling-pekeliling kerajaan yang lain sekiranya pihak kerajaan
mengumumkan sebarang imbuhan tahunan dan bayaran khas prestasi atau
lebih dikenali sebagai bonus tahunan kepada semua kakitangan Kuin.
Kerajaan BN Kedah juga sedang giat berusaha menyelesaikan satu
persatu masalah lain yang melanda Kuin tanpa unsur politik demi
kepentingan pelajarnya.
Usaha itu adalah selaras dengan hasrat untuk melonjakkan Kuin sebagai
institusi pengajian tinggi yang ulung di peringkat antarabangsa
menerusi pengkhususan jurusan kepakaran kolej universiti berkenaan. -Utusan