Apabila dapat duit raya sehingga beratus-ratus ringgit, anak muda
mula memasang ‘angan-angan’ untuk membeli barang kesukaan. Namun ada
juga yang menabung dan menggunakannya ketika diperlukan.
Kalau dilihat dari perspektif positif, pemberian duit raya mampu
memberikan senyuman kepada anak-anak kecil atau yatim umpamanya,
keluarga berpendapatan rendah atau miskin dan beberapa golongan lain.
Sebenarnya jika kita lihat dari skop Malaysia saja, budaya memberi
duit raya memang sudah lama diamalkan sejak dulu lagi walaupun ia
bukanlah sesuatu yang wajib ataupun satu kemestian. Namun mungkin tidak
bagi segelintir anak-anak kecil yang menunggu duit raya ketika berhari
raya.
Senario biasa yang berlaku setiap kali datangnya raya terutamanya di kampung atau kawasan perumahan luar bandar, anak kecil akan lekas berkumpul dengan teman-teman seawal pagi untuk mengumpul duit raya dengan ‘pusing’ satu kampung.
Senario biasa yang berlaku setiap kali datangnya raya terutamanya di kampung atau kawasan perumahan luar bandar, anak kecil akan lekas berkumpul dengan teman-teman seawal pagi untuk mengumpul duit raya dengan ‘pusing’ satu kampung.
Tuan rumah yang memberikan duit raya paling banyak akan mendapat kunjungan lebih ramai. Individu pertama yang pergi ke rumah itu akan memberitahu kawan-kawan lain. Malah lebih kelakarnya, ada anak kecil yang singgah lebih daripada sekali semata-mata ingin penuhkan poketnya.
Tuan rumah yang beri duit raya sedikit akan mendapat gelaran seperti kedekut atau Haji Bakhil. Itulah keadaannya beraya di kampung dan kanak-kanak adalah penyeri yang memeriahkan lagi sambutan hari raya.
Namun apabila sudah masuk ke alam remaja, dalam lingkungan usia 13 tahun ke atas, jarang mereka diberikan duit raya tetapi tak dinafikan masih ada yang menerimanya. Cuma jumlahnya sudah berbeza.
Kalau boleh, nak ulang semula kehidupan beraya seperti dulu, tidak perlu memberi duit raya tapi menerimanya. Namun tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.
Kaum Cina memberi gelaran duit raya sebagai ‘angpau’. Mengikut tradisi mereka, wanita atau lelaki yang belum mendirikan rumah tangga wajib menerima ‘angpau’ daripada mereka yang sudah berkahwin tak kira peringkat usia.
Pemberian duit raya tidak menjadi menjadi satu tradisi wajib apabila tibanya Aidilfitri, namun tak salah jika pemberian itu dianggap sebagai satu sedekah atau hadiah kepada anak-anak.
Ada antara ibu bapa menggunakan alasan ‘duit raya’ untuk memujuk anak-anak berpuasa. Ini bukannya dianggap sebagai rasuah tetapi untuk mendidik anak agar mentaati suruhan agama.
7 Kelebihan menabung
1. Manfaat untuk jangka panjang
Ramai yang rasa menyesal apabila tak ada duit simpanan untuk masa depan. Duit simpanan ini boleh dimulakan dengan duit syiling 10 sen yang kita simpan di dalam tabung setiap hari. Tidak salah duit raya juga dijadikan sebagai duit tabungan, malah memberikan lebih banyak manfaat untuk masa depan. Ketika masih muda ini mungkin kebaikan menyimpan duit itu belum terlihat, namun apabila anda sudah tua, duit simpanan itu akan digunakan selepas tak larat lagi untuk keluar bekerja.
2. Meningkatkan pendapatan
Dengan menabung dapat meningkatkan lagi pendapatan bulanan anda. Boleh mula dengan cara menyimpan duit raya di dalam bank atau badan kewangan yang lain dan anda akan dapat manfaat yang banyak daripada simpanan itu.
3. Berjimat cermat
Berjimat bukanlah sehingga anda berada pada tahap kedekut sehingga menyebabkan perbelanjaan harian ada masalah tetapi berjimat dengan cara tidak berbelanja membeli barang yang tidak memberikan kepentingan kepada diri. Orang kata, berbelanja dengan berhemah.
4. Berlaku kecemasan
Sebagai manusia biasa, kita tak tahu apa dan bila sesuatu itu akan berlaku. Jadi tak salah untuk kita siapkan diri dari segi kewangan yang kukuh. Mungkin ada kawan-kawan yang tak sudi untuk beri pinjam wang mereka. Menabung dari sekarang agar tidak menyesal pada kemudian hari.
5. Modal berniaga
Duit tabungan atau simpanan itu boleh digunakan untuk pelaburan dan modal untuk memulakan perniagaan terutama buat mereka yang tak suka kerja makan gaji. Jadi duit tabungan itu boleh dijadikan sebagai modal untuk memulakan perniagaan.
6. Pendidikan
Ibu bapa mana yang tak mahu anak-anak menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan berjaya dalam kehidupan mereka. Jadi dengan simpanan pendidikan ini mampu memberikan 1,001 manfaat buat ibu bapa dan anak-anak. Tak perlu lagi ayah anda ‘garu kepala’ selepas anak mendapat tawaran belajar di universiti.
7. Melancong
Duit simpanan itu juga anda boleh gunakan untuk melancong ke destinasi tertentu yang sudah lama diimpikan. Malah anda boleh membeli-belah di tempat melancong dengan lebih mudah tanpa perlu ada rasa bimbang tidak cukup wang. - Metro