Padang: Jemaah tarekat Naqsyabandi Sumatera Barat akan menyambut Aidilfitri Selasa depan, 6 Ogos ini.
Setiausaha cawangan jemaah itu di Kota Padang, Edizon berkata, ia
berdasarkan perhitungan puasa selama 30 hari selepas mereka mula
berpuasa pada 7 Julai lalu.
Menurutnya, 5,000 anggota jemaah itu yang menetap di Kota Padang dan Solok Selatan akan menyambut hari raya pada hari yang ditetapkan.
Cara yang digunakan untuk menentukan awal puasa ialah menerusi
pengiraan munjid yang didakwa mengikut amalan turun-temurun sejak zaman
Rasulullah.
“Kaedah pengiraan itu dibuat ulama besar pada zaman Rasulullah dan jemaah akan bertakbir raya pada 5 Ogos selepas solat Maghrib,” katanya.
Terdapat 70 masjid dan surau pengikut tarekat itu di seluruh Sumatera. Muhammadiyah, kumpulan Islam kedua terbesar Indonesia mula berpuasa 9 Julai lalu dan baru-baru ini mengumumkan hari raya jatuh pada 8 Ogos. Kerajaan Indonesia dan Nahdlatul Ulama pula mula berpuasa 10 Julai dan menyambut raya pada 8 Ogos juga. - Agensi