KISAH rumah tangga Ashraf Muslim yang
heboh diperkatakan minggu lalu, turut menarik perhatian pengacara dan
pelakon berbakat besar, Nor Neelofa Mohd Nor atau Neelofa.
Menurut Neelofa, biarpun jodoh merupakan ketetapan ALLAH SWT, namun sebagai seorang wanita dia mengharapkan tidak akan hidup bermadu apabila berumah tangga kelak.
“Saya percaya jodoh, pertemuan setiap
orang sudah ditentukan sejak kita berada di Loh Mahfuz lagi. Tetapi jika
ditakdirkan berkongsi suami, kita terpaksa menerima dengan seadanya
kerana ia ketentuan Ilahi.
“Sekiranya ia berlaku, soal siapa
bersalah tidak patut ditimbulkan, sebaliknya harus berbincang agar rumah
tangga aman tanpa berlaku percakaran sesama sendiri,” kata bekas juara
Dewi Remaja 2010.
Bagaimanapun Neelofa berkata, kebanyakan
wanita tidak suka hidup bermadu dan lebih rela bercerai supaya tidak
menimbulkan masalah di kemudian hari.
“Soal kongsi suami, ia tidak pernah
terlintas langsung di fikiran saya. Namun jika diberi pilihan, saya
enggan bermadu. Dan sebolehnya saya ingin calon suami yang boleh
membimbing saya menjadi isteri solehah,” kata Neelofa yang lebih selesa
mendampingi lelaki seusianya.
Turut menyimpan hasrat untuk berumah
tangga, ia bagaimanapun belum menjadi keutamaan buat pengacara Nona yang
sedang digosipkan dengan aktor kacak, Hans Isaac. Ini kerana fokusnya
kini lebih terhadap kerjaya seninya.
Nasi Lemak Kampung Santan
Berkongsi kerjayanya, Neelofa berkata,
sepanjang Ramadan dia masih memenuhi tugasnya sebagai pengacara. Lebih
bermakna, filem terbarunya, Nasi Lemak Kampung Santan di samping Hans,
bakal menemui penonton pada Aidilfitri ini.
“Kemungkinan saya cuti raya tak lama
sebab saya perlu menjayakan promosi filem ini. Tambahan pula saya akan
turut serta dengan jelajah promosi di seluruh negara bermula 12 Ogos
ini,” kata bintang Azura ini.
Sementara itu, dua lagi filem lakonannya, Pilot Cafe dan Gangters Superstar bakal menemui penonton pawagam mulai tahun hadapan.
Ternyata rezeki yang diterima anak jati
Pasir Mas, Kelantan ini semakin melimpah ruah apabila dia ditawarkan
pula membintangi filem sekuel, Hantu Kapcai 2.
“Mungkin masyarakat lihat saya lebih
banyak mengacara kerana sering keluar televisyen. Hakikatnya bidang
lakonan tetap diteruskan kerana banyak tawaran yang diterima.
“Alhamdulillah… rezeki saya masih belum
putus. Ada sahaja tawaran berlakon filem dan drama. Namun buat masa ini
tumpuan saya lebih kepada filem kerana lebih senang untuk mengatur
jadual kerja,” kata Neelofa yang banyak berguru dengan Farah Fauzana dan
Nabil untuk memantapkan diri dalam dunia pengacaraan.
Kali pertama beraya di Kedah
Menyentuh mengenai Aidilfitri yang bakal
tiba, Neelofa berkata, tahun ini dia tidak dapat beraya di kampung
kelahirannya kerana mengikuti bapanya beraya di Alor Setar, Kedah.
Jelas Neelofa, ia juga merupakan kali pertama dia beraya di sana.
“Hanya tinggal saya dan adik-adik yang masih bujang sahaja dapat ikut ibu bapa pulang ke sana.
“Tahun ini, ramai adik beradik saya tidak dapat pulang bersama kerana giliran beraya di kampung pasangan masing-masing.
“Agak sedih juga kerana raya tahun ini pastinya kurang meriah berbanding sebelum ini,” ujarnya.
Amat menggemari juadah nasi dagang setiap pagi raya, Neelofa berkata, tahun ini dia terpaksa melupakan juadah kegemarannya itu.
“Nampaknya saya tidak berpeluang untuk
menikmati nasi dagang di pagi raya. Tetapi saya berharap akan dapat
menikmati juadah popular ‘Orang Utara’,” katanya yang turut menggemari
biskut Almond London dan Cornflakes. – Sinar Harian Online