"Orang bendang" dapat "duit raya" RM19.8 juta

Mukhriz Tun Mahathir menyampaikan insentif projek estet padi kepada Saidin Omar (kanan) sambil diperhatikan Othman Aziz (dua dari kiri) di PPK 3-III MADA Kobah, Pendang, Kedah, semalam. 
 
PENDANG 5 Ogos - Sebanyak 5,929 peserta estet padi berpusat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menerima 'duit raya' iaitu insentif bernilai RM19.8 juta bagi 9,914 hektar tanaman padi yang diusahakan mereka.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, insentif itu adalah bagi musim kedua tahun ini dan merupakan sebahagian daripada keseluruhan RM30 juta insentif kepada seluruh kawasan MADA.
Katanya, pesawah yang menyertai projek estet padi berpusat di bawah program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Projek Permulaan (EPP) 10 itu diberi insentif sebanyak RM2,000 setiap hektar sebagai galakan dan jaminan kepada pendapatan mereka.

"Sebahagian daripada pemberian insentif tersebut atau RM19.8 juta diserahkan kepada 27 Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang akan mengagihkannya kepada peserta terlibat di kawasan masing-masing hari ini manakala bakinya akan diagihkan bulan depan.

"Insentif ini bertepatan pada masanya bagi keperluan perbelanjaan pesawah menjelang sambutan Aidilfitri selain mereka juga memerlukan wang untuk memulakan musim tanaman padi," katanya dalam majlis penyampaian insentif berkenaan di PPK3-III MADA Kobah, di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, pelaksanaan projek estet padi NKEA dapat membuka peluang pekerjaan kepada pesawah, anak-anak mereka dan usahawan tempatan.

Yang turut hadir Pengerusi MADA ,Datuk Othman Aziz dan Pengerusi PPK H-II Kepala Batas, Saidin Omar.

Beliau berkata, peserta juga akan mendapat dividen hasil keuntungan projek estet berkenaan manakala PPK pula memperoleh pendapatan daripada komisen pengurusan, jualan input dan perkhidmatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, mentaliti golongan muda perlu ditukar supaya berminat menceburi bidang pertanian.

Katanya, golongan muda sering berpendapat bidang pertanian sukar kerana terpaksa bekerja di tengah panas dan tidak mendapat pendapatan lumayan berbanding pekerjaan lain.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan pesawah mengikuti turutan garis panduan MADA pada setiap musim penanaman padi bagi meningkatkan hasil pengeluaran.

Sementara itu, pesawah, Hassan Sauri Abdul, 54, berkata, dia bersyukur dengan pengagihan insentif sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bukan sahaja dapat membantunya menyediakan kelengkapan tetapi membolehkannya bersedia memulakan musim penanam baharu.

"Saya bersyukur kerana menerima insentif secara teratur sejak menyertai projek estet padi tiga musim lalu," katanya yang memperoleh insentif sebanyak RM6,000 daripada kira-kira tiga hektar sawah diusahakannya. -Utusan