ALOR SETAR - Masalah kekurangan tempat letak kenderaan di
pusat bandar raya ini dijangka dapat diatasi apabila Majlis Bandaraya
Alor Setar (MBAS) merancang membina sebuah bangunan parkir bertingkat
tidak lama lagi untuk keselesaan orang ramai.
Menurut Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad, parkir
bertingkat tersebut akan memuatkan sebanyak 500 petak letak kereta dan
pihaknya sudah mengenal pasti lokasi yang bersesuaian.
Pada ketika ini terdapat kira-kira 700 tempat meletak kereta di
tengah-tengah bandar raya ini termasuk 400 petak di Pusat Transformasi
Bandar (UTC) Kedah yang baru disiapkan di Kompleks MBAS Jalan Kolam Air.
MBAS menyedari keperluan orang ramai untuk berkunjung ke bandar ini
bagi menyelesaikan pelbagai urusan mereka, jadi kita merancang membina
parkir bertingkat ini," katanya di sini baru-baru ini.
Menurut Mat Noh, pihaknya menjangka kehadiran orang ramai ke Alor
Setar bertambah dengan pembukaan UTC Kedah sejak 21 Julai lalu.
MBAS akan berusaha menyelesaikan parkir di bandar raya ini termasuk
menaik taraf tempat letak kereta di Kompleks MBAS bersesuaian dengan
pembukaan UTC Kedah yang kini mempunyai sebanyak 400 petak," katanya.
Menyentuh tentang UTC Kedah, pihaknya berharap orang ramai dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan di bawah satu bumbung.
Katanya, sehingga kini terdapat sebanyak 22 jabatan kerajaan dan
swasta beroperasi termasuk Klinik 1Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara
(JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)
dan Majlis Amanah Rakyat (Mara). -Utusan