ALOR SETAR - Pekan Rabu iaitu pusat perniagaan Bumiputera di bandar
raya ini akan diroboh untuk dibina semula supaya lebih selesa dan
lapang, kata Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.
"Kompleks Pekan Rabu yang moden akan didirikan semula di tapak asal,"
kata Mukhriz kepada pemberita selepas meninjau pusat perniagaan itu, di
sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri sedar Pekan Rabu penting kepada Alor
Setar khususnya untuk industri pelancongan dan sehubungan itu pusat
perniagaan berkenaan akan dibina semula agar lebih menarik.
Permohonan untuk tujuan itu telah diluluskan kerajaan persekutuan, katanya.
Pekan Rabu yang wujud sejak 1900 menjadi tarikan pengunjung serta
sinonim dengan jualan makanan, kuih dan pakaian tradisional, tukang
jahit, songkok, kraftangan tempatan, buku, kitab, majalah dan produk
industri kecil dan sederhana (IKS).
Mukhriz berkata kompleks baharu itu akan mempunyai lebih banyak ruang perniagaan.
Mukhriz berkata semua peniaga Pekan Rabu akan dipindahkan ke tapak
sementara milik Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) di sini untuk
membolehkan kerja-kerja meroboh dilaksanakan dalam masa dua atau tiga
bulan dari sekarang.
Beliau berkata kompleks baharu Pekan Rabu itu akan mempunyai ruang
meletak kereta mencukupi dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun
daripada tarikh pembinaannya. - Bernama