KUALA LUMPUR - Dakwaan Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong
kononnya hanya 19 peratus pelajar Cina yang mencatat Purata Penilaian
Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 mendapat tawaran ke Institusi Pengajian Tinggi
Awam (IPTA), adalah tidak benar.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan
seramai 3,584 pelajar telah mendapat PNGK 4.0 dengan 47 peratus daripada
jumlah itu adalah pelajar Bumiputera, 35 peratus pelajar Cina, 10
peratus pelajar India dan tujuh peratus lain-lain.
"Dari jumlah keseluruhan, 3,545 pelajar telah ditawarkan ke IPTA. Ini
jelas menunjukkan 99 peratus pelajar yang mendapat PNGK 4.0 telah
mendapat tawaran IPTA dan hanya 39 pelajar atau satu peratus yang tidak
mendapat tawaran," menurutnya.
Menurut kenyataan itu, kegagalan satu peratus itu adalah disebabkan
faktor antaranya, tidak memenuhi syarat khusus program, unjuran tempat
telah penuh terutamanya program kritikal, pelajar berada pada merit
rendah dan pelajar membuat pernyataan TIDAK sekiranya ditawarkan
program selain yang dipohon.
Kementerian itu turut menafikan dakwaan Ka Siong kononnya sistem
meritokrasi yang diperkenalkan pada 2002 menggantikan sistem kuota
adalah satu bentuk sistem kuota lebih buruk membawa kepada kemerosotan
kemasukan pelajar bukan Melayu secara umum.
Menurut kenyataan itu, pengambilan pelajar berdasarkan meritokrasi
adalah telus dan profesional dengan mengguna pakai 90 peratus markah
akademik dan 10 peratus markah kokurikulum sebagai satu langkah
menghasilkan graduan yang holistik.
"Mengikut prinsip meritokrasi, semua calon yang layak dengan markah
merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, bangsa, keturunan, negeri,
taraf hidup dan tempat tinggal tidak akan dinafikan peluang mengikuti
pengajian di IPTA," katanya.
Kementerian itu berkata pengambilan pelajar ke IPTA juga ada yang
dilaksanakan menerusi proses temuduga, selain beberapa IPTA berstatus
Universiti Penyelidikan yang diberi autonomi dalam pengurusan kemasukan
pelajar. Justeru, kementerian berharap 39 pelajar dengan PNGK 4.0 yang
gagal mendapat tawaran IPTA, dapat membuat rayuan dengan kadar segera.
"Kementerian Pendidikan amat prihatin dengan masalah mereka, oleh itu
kesemua 39 pelajar itu akan diberi keutamaan memasuki IPTA jika ada
kekosongan selaras keputusan Jemaah Menteri," menurutnya. - BERNAMA