BALING – Terfikir perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang, seorang
pemuda menangis teresak setelah ditahan polis kerana memproses dan
menjual air ketum di sebuah rumah di Kampung Tok Kaya, Pulai kira-kira
jam 12.45 pagi, semalam.
Pemuda yang baru berusia 19 tahun itu dikatakan penjual utama air ketum kepada penduduk sekitar kawasan Pulai.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata,
polis pernah membuat beberapa kali serbuan di rumah terbabit sebelum
ini, tetapi suspek berjaya melarikan diri.
Menurutnya, seramai enam anggota yang diketuai oleh Inspektor Mohamad
Helmi Abdul Hamid melakukan serbuan ketika suspek ingin keluar dari
rumah terbabit.
“Hasil serbuan, polis berjaya menemui 88 bungkus air ketum bersama
daun yang belum diproses dalam rumah terbabit. Manakala, 23 botol ubat
batuk ditemui dalam beg pemuda terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, pemuda terbabit menangis teresak-esak ketika disoal
siasat oleh anggota polis di Ibu Pejabat Polis setelah terkenang
mengenai perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
“Kita percaya, masih ada lagi rakan mangsa yang menjadi ‘runner’
dalam penjualan air ketum ini. Polis akan memastikan kesemua yang
terlibat akan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.
Menurutnya, polis akan terus mengambil tindakan kepada mereka yang masih berdegil melakukan kegiatan penjualan air ketum.
Katanya, penahanan pemuda terbabit dapat melumpuhkan kegiatan menjual air ketum di sekitar Pulai dan berhampiran kawasan itu.
Pemuda tersebut bakal menyambut Aidilfitri di dalam penjara sekiranya mahkamah memutuskan hukuman penjara kepadanya.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Sinar Harian Online