ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mengikuti langkah Kerajaan Pusat
dalam pemberian bonus menjelang Hari Raya Aidilfitri selepas mengumumkan
pemberian sebanyak RM500 seorang bagi kira-kira 7,000 penjawat awam
negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir yang mengumumkan berita gembira
itu berkata, bonus membabitkan jumlah sebanyak RM3.5 juta tersebut akan
dibayar dalam masa terdekat iaitu sebelum Hari Raya Aidilfitri.
"Kerajaan negeri akur tentang langkah Kerajaan Pusat dan memutuskan memberi bonus RM500 ini kepada semua penjawat awam.
"Bonus ini akan dibayar dalam minggu ini juga iaitu sebelum Hari
Raya," katanya kepada pemberita selepas meninjau Kompleks Pekan Rabu, di
sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, kata Mukhriz, kerajaan negeri akan membina
semula Kompleks Pekan Rabu tersebut dengan pelbagai kemudahan lebih baik
untuk peniaga dan pengunjung.
"Kita sudah mendapat peruntukan untuk tujuan itu dan dalam tempoh
satu setengah tahun lagi Pekan Rabu akan berubah kerana bangunan lama
akan diroboh dan dibina baharu," katanya. -Utusan