Georgetown: Tindakan dua sahabat menyamun
sebuah kedai 24 jam menggunakan pedang membawa padah apabila dicekup
polis ketika cuba melarikan diri di Jalan Todak 2, Seberang Jaya,
Seberang Prai Tengah (SPT), dekat sini, Khamis lalu.
Dalam kejadian jam 5.30 pagi, dua suspek berusia 18 tahun
bersenjatakan pedang dan memakai topi keledar meluru masuk ke kedai yang
ketika itu ada seorang pekerja wanita berusia 20-an.
Jurucakap polis berkata, seorang suspek turut membawa sebatang cota dan mereka mengambil telefon bimbit mangsa serta mengacukan pedang ke lehernya.
Katanya, bimbang dicederakan, mangsa menyerahkan wang tunai RM60 di
dalam laci kepada suspek dan ketika melarikan diri, suspek turut
mengambil beberapa kotak rokok bernilai RM300.
“Bagaimanapun, ketika melarikan diri, sebuah kereta polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) melalui kawasan itu dan suspek berjaya ditahan selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.
“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah (IPDSPT) dan siasatan mendapati kedua-duanya tidak bekerja serta tiada rekod jenayah lampau manakala keputusan ujian saringan air kencing adalah negatif,” katanya.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun
Keseksaan iaitu samun berkawan menggunakan senjata dan sabit kesalahan
boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau sebatan atau kedua-duanya. -Metro