Penyebar Syiah akan didakwa

Kuala Lumpur: Mana-mana pihak yang menyebarkan fahaman Syiah di negara ini boleh didakwa di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam serta Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Mengenai Perlanggaran Fatwa bagi membolehkan tindakan diambil terhadap mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, melalui Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam individu ataupun pihak yang menyebarkan fahaman Syiah boleh diambil tindakan undang-undang serta didakwa di mahkamah sivil.

“Manakala Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Mengenai Perlanggaran Fatwa pula, tindakan boleh diambil kerana mengingkari ataupun menentang fatwa berhubung pengharaman fahaman Syiah di negara ini ataupun melanggar fatwa dikeluarkan mufti.

“Kita ingin ingatkan negara ini mengamalkan fahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang menyebarkan fahaman Syiah,” katanya di sini, semalam. -Metro