ALOR SETAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM)
telah mengenal pasti suspek terlibat dalam beberapa kes pembunuhan
dengan senjata api yang dilaporkan banyak berlaku kebelakangan ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pasukan khas
yang ditubuhkan telah melakukan tugas dengan baik untuk mengenal pasti
pembunuh-pembunuh terlibat terutama yang melibatkan pengasas kumpulan
perbankan Arab Malaysian, Hussain Ahmad Najadi.
"Kami hanya tunggu masa untuk tutup kes. Kami faham tentang
kebimbangan masyarakat, kegusaran berkenaan kes tembakan dan pembunuhan
guna senjata api yang nampak berleluasa sejak kebelakangan ini.
"Ingin dijelaskan setiap kes ada latar belakang sendiri, ada fakta tersendiri. Kita bukan menghadapi seorang orang gila yang ada senjata api tembak ikut sesuka hati," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir di pejabat Menteri Besar Kedah, di sini, hari ini.
"Ingin dijelaskan setiap kes ada latar belakang sendiri, ada fakta tersendiri. Kita bukan menghadapi seorang orang gila yang ada senjata api tembak ikut sesuka hati," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir di pejabat Menteri Besar Kedah, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat negara ini supaya tidak gusar dengan dakwaan negara ini tidak selamat berikutan kejadian pembunuhan dengan senjata api itu.
"Ada sebab kenapa berlaku kes-kes tembakan itu. Kita melihat seperti ada kebanjiran senjata api dalam negara kita. Pihak kami memantau rapat perkara ini dan tindakan sepatutnya akan kami ambil.
"Persepsi memang nampak seolah-olah senjata api banyak sebab memang berlaku banyak kes tembakan sejak kebelakangan ini. Kami harap rakyat bersabar, beri kami masa untuk mendalami siasatan kami. Saya penuh yakin kami dapat atasi perkara ini," katanya.
Bagaimanapun, Khalid dilihat agak kecewa apabila PDRM terus diserang pihak tertentu yang sentiasa tidak berpuas hati dengan jabatan itu apabila berlaku sesuatu kejadian jenayah.
"Tanggungjawab kami memastikan apa juga perkara melibatkan jenayah diambil tindakan, disoal siasat dan mencegah daripada berlaku lagi. Polis memang senang dijadikan "scapegoat" (kambing hitam) .
"Saya rasa polis sentiasa menjadi sasaran pihak tertentu yang tidak puas hati dengan tindakan kita. Kita kuatkuasakan undang-undang yang betul dia tak puas hati, kita tak kuatkuasakan pun lagi dia tak puas hati. Bila ada keadaan semua nak ambil kesmepatan. Tak usah menangguk di air yang keruh," katanya. - Bernama