Georgetown: Seorang lelaki berusia 21 tahun layak digelar ‘anak
durjana’ apabila tergamak memukul ibunya dengan menggunakan ekzos
motosikal dalam kejadian di Permatang Damar Laut, Jumaat lalu.
Lebih menyedihkan, ibu malang berusia 50-an itu mengalami
kecederaan sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Pulau
Pinang (HPP) selama beberapa hari.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam apabila mangsa dimarahi anaknya yang sebelum itu bertengkar dengan bapanya mengenai kad sim telefon yang bermasalah.
Difahamkan, suspek menggunakan telefon orang tuanya dan memasukkan
kad sim, namun tidak boleh digunakan sebelum suspek berang sehingga
bapanya menegurnya.
Disebabkan berang dengan teguran bapanya yang berusia 55 tahun, suspek memarahi ibunya sebelum menyerang mangsa tanpa belas kasihan dengan ekzos motosikal.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata, suspek tergamak memukul ibunya dengan menggunakan ekzos motosikal sehingga mengalami kecederaan dan dimasukkan ke HPP.
Bagaimanapun katanya, keadaan mangsa dilaporkan stabil dan selepas kejadian suami mangsa membuat laporan polis.
“Suspek turut memecahkan cermin belakang kereta dan berdasarkan laporan polis orang tuanya, sepasukan anggota mengesan suspek dan berjaya menahannya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan
sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya dan sabit
kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan
atau mana-mana dua daripada hukuman itu,” katanya.