KUALA LUMPUR 31 Julai - Sebuah persembahan
pantomin oleh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) telah mengusik perasaan para hadirin dalam Istiadat Hari
Pahlawan 2013 di Dataran Merdeka hari ini.
Terdapat juga dalam kalangan hadirin yang tidak dapat menahan
perasaan sebak lalu menitiskan air mata mengenangkan pengorbanan
perajurit negara mempertahankan tanah air sehingga menggadaikan nyawa
sendiri.
Bertemakan insiden pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah,
persembahan yang sarat dengan pelbagai aksi ketenteraan tersebut
berjaya membawa penonton menjiwai peristiwa yang meragut nyawa sembilan
perwira negara.
Mereka ialah Asisten Supritendan (ASP) Zulkifli Mamat, 29; Sarjan
Sabaruddin Daud, 46; Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, 52; ASP Michael
Padel, 36; Sarjan Abdul Azis Sarikon, 48; Lans Koperal Mohd. Azrul
Tukiran, 27; Sarjan Detektif Baharin Hamit, 49; Koperal Salam Tugiran,
42 dan Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24.
Suasana persembahan menjadi lebih memilukan apabila skrin besar
memaparkan kesemua profil perajurit yang gugur tersebut sambil membaca
sebuah sajak yang dipercayai daripada khidmat pesanan ringkas (SMS)
terakhir seorang perwira gugur.
Antara bait sajak tersebut berbunyi; "Oh Malaysiaku, maafkan aku
andai aku gugur di medan perang. Demi Allah aku telah berusaha sedaya
upaya."
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja
Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan menghadiri istiadat
tersebut serta melakukan pemeriksaan Barisan Kawalan Kehormatan Utama
(KKU) oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Yang turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan
isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pertahanan, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli
Mohd. Zin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; pembesar negara
serta duta asing.
Dalam sambutan itu juga, tiupan sayu trompet serta begol yang mengalunkan Paluan Akhir atau istilah Inggerisnya, Last Post menimbulkan rasa sayu dalam kalangan hadirin.
Ketika dimainkan, Jalur Gemilang secara simboliknya diturunkan dan
anggota tentera, polis serta pertahanan luar yang beruniform memberi
tabik hormat sementara hadirin lain turut berdiri bagi memperingati
pahlawan negara yang terkorban demi mempertahankan tanah air.
Di medan perang pada zaman dahulu, Paluan Akhir dimainkan pada pukul
6.30 petang iaitu ketika anggota tentera mencari dan mengumpulkan mayat
rakan terkorban serta di peringkat sejagat pula, diperdengarkan ketika
pengebumian anggota pasukan keselamatan terkorban ketika bertugas. - Utusan