Rajagopal Aibkan Harimau Muda Di Jepun

"Kehebatan" Skuad Harimau Malaya tidak dapat dinafikan lagi apabila pasukan itu tewas bergaya, 0 - 5, kepada skuad bolasepak divisyen dua Liga Jepun, Tokyo Verdy.

Dengan kedudukan tewas buat kali ketiga di dalam siri jelajah kelab bolasepak Jepun itu, skuad kebanggaan K Rajagopal itu turut gagal menyumbang sebarang gol bagi kesemua tiga perlawanan yang diharungi di negara matahari terbit itu.

Walau bagaimanapun, K Rajagopal tetap selamba tabah dan dilihat tiada riak rasa bersalah atas prestasi buruk skuad bimbingannya itu. Mungkin beliau sudah terlalu biasa dengan budaya "kalah selalu".

Terdahulu, Rajagopal dihadiahkan kekalahan 0 - 2 di tangan kelab divisyen satu, Shimizu S-Pulse, dan kemudian gawang gol skuad bolasepak negara bolos sebanyak lima kali pada perlawanan kedua menentang sebuah lagi kelab Jepun, Shonan Bellmare, dengan jaringan 0 - 5.

Dalam pada itu, tanpa sebarang kekesalan atas tiga kekalahan memalukan itu, Rajagopal memaklumkan sebelum ini bahawa perlawanan-perlawanan menentang kelab-kelab Jepun itu adalah sebagai persediaan menentang skuad bolasepak Bahrain bagi pusingan kelayakan Piala Asia 2015.

Skuad bimbingan Rajagopal dijangka bakal dimalukan lagi pada Oktober ini. - KedahNews.com