KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman
mengesahkan semua rakyat Malaysia di Mesir berada dalam keadaan baik dan
selamat walaupun situasi keselamatan semasa di negara itu merosot.
Negara itu dilanda konflik berdarah apabila tercetus pentempuran
antara pihak berkuasa keselamatan dengan penyokong bekas presiden Mesir
Mohamed Morsi, menyebabkan ramai yang terkorban dan ribuan lain cedera.
Justeru, Anifah meminta rakyat Malaysia mematuhi garis panduan
keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Mesir dan Kedutaan
Besar Malaysia di Kaherah.
"Bagi pelajar Malaysia yang mahu pulang, mereka dinasihatkan
memeriksa dan mengesahkan dengan universiti masing-masing sama ada akan
terdapat sebarang perubahan pada tarikh bermula tahun akademik sebelum
kembali semula ke negara itu, katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.
Anifah juga berkata rakyat Malaysia juga diingatkan supaya tidak
mendekati kawasan berisiko konflik dan tidak menyertai sebarang
perhimpunan bantahan.
Beliau berkata rakyat Malaysia yang bercadang ke Mesir dinasihatkan
untuk menangguhkan dan menjadual semula semua lawatan tidak penting ke
negara itu.
Katanya kerajaan Malaysia melahirkan kebimbangan yang mendalam
berhubung perkembangan pergolakan semasa dan pertumpahan darah di negara
itu yang sehingga ini telah mengorbankan ramai nyawa dan ribuan yanvg
lain cedera.
Katanya kerajaan membantah dengan keras sebarang bentuk keganasan
sebagai cara menyelesaikan sebarang konlfik dan berharap semua pihak di
negara itu tidak memilih jalan keganasan sebaliknya mencapai
penyelesaian secara damai.
"Adalah amat penting bahawa krisis politik semasa di negara itu perlu
diselesaikan menerusi dialog yang berterusan melibatkan semua pihak
berkepentingan bagi mencari penyelesaian yang berkesan dan
berpanjangan," katanya.
Rakyat Malaysia di Mesir dinasihatkan supaya mengikuti perkembangan
semasa dengan menghubungi Kedutaan Malaysia di Kaherah di alamat No. 21
El Aanab Street, Mohandesseen, Giza, Mesir.
Nombor talian kedutaan ialah (202) 37610013/ 19/68/73 atau Bilik
Operasi Kedutaan Malaysia di talian 00-2-02-37610270 atau
02-3760735/02-37610013 sambungan 140.