ALOR SETAR - Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata sudah
tiba masanya isu fahaman Syiah diberi publisiti secara terbuka agar
orang ramai dapat memahami bahaya fahaman itu kepada umat Islam.
Beliau mengakui kerajaan negeri memberi publisiti meluas untuk
menyampaikan maklumat bahawa ajaran Syiah boleh menggugat umat Islam
yang rata-ratanya ialah Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
"Publisiti fahaman Syiah memang wajar. Jika tiada publisiti kita takut
akan berlaku kekeliruan dalam kalangan orang ramai pula.
"Orang belum faham sepenuhnya ajaran Syiah ini. Dengan adanya publisiti
ini barulah penjelasan lebih mendalam dapat disampaikan," katanya
kepada pemberita semasa ditemui selepas meninjau kompleks perniagaan
Pekan Rabu di sini hari ini.
Mukhriz mengulas dakwaan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang
menyifatkan cara kerajaan Kedah menangani isu Syiah kebelakangan ini
seolah-olah memberi publisiti percuma kepada ajaran itu.
Mukhriz berkata selepas Kedah mewartakan fatwa anti-Syiah pada 18
Julai, banyak pihak mengambil pendekatan untuk memberi pendedahan yang
lebih jelas mengenai fahaman Syiah termasuk melalui media massa.
"Dengan pendedahan ini, diharapkan orang ramai lebih sedar bahaya
fahaman Syiah dan mengambil pendekatan untuk menghalang penyebarannya.
"Penyebaran ajaran Syiah di Kedah sudah lama berlaku. Dalam masa lima
tahun lepas tidak ada usaha langsung untuk menyekat penyebarannya,"
katanya. - Bernama