Rakyat Selangor ugut kilang arak Carlsberg

Shah Alam: “Kalau permintaan kami enggan ditunaikan, setiap bulan akan ada lembu berkeliaran di depan kilang ini..” itu amaran kira-kira 10 ahli Gabungan Persatuan Penternak Ruminan Negeri Selangor (PPRNS) selepas membatalkan perhimpunan aman mereka di sini, semalam.

Pengerusinya Samad Kassim berkata, selepas mengadakan perbincangan dengan pihak Carlsberg Brewery Malaysia Berhad, semalam, ahli persatuan itu bersetuju menghentikan perhimpunan aman dan tidak membebaskan lembu di pekarangan kilang itu.

Bagaimanapun katanya, sekiranya isu penguasaan orang tengah dalam pengagihan bekalan makanan ruminan kepada penternak kecil berterusan, pihaknya tidak teragak-agak mengadakan perhimpunan setiap bulan di lokasi itu.

Samad berkata, antara tuntutan ahlinya ialah menghapuskan peranan orang tengah yang menjadi dalang kepada kenaikan kos bahan bekalan makanan sehingga membebankan penternak kecil.

“Kami difahamkan orang tengah ini hanya mengagihkan bekalan makanan ruminan kepada 20 penternak di bawah naungan syarikat itu. Lebih buruk lagi ia turut dijual kepada penternak luar Selangor semata-mata untuk mengaut keuntungan yang banyak.

“Orang tengah dan 20 syarikat berkenaan mengabaikan keperluan kami, malah penternak kecil terpaksa melaburkan jumlah yang besar termasuk kos pengangkutan untuk membeli semula bekalan makanan ruminan itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Carlsberg Brewery Malaysia Berhad, di Seksyen 15, di sini, semalam.

Samad berkata, masalah itu bermula kira-kira dua bulan lalu selepas Carlsberg Brewery Malaysia Berhad memberikan hak pengedaran dan jualan kepada orang tengah.

“Penternak sepatutnya dibenarkan untuk mengambil sendiri bekalan makanan ruminan di kilang mengikut giliran dan bukannya terpaksa membayar kos pengangkutan yang dikenakan orang tengah.

“Cadangan kita, supaya hak pengedaran dan penjualan diuruskan Koperasi Penternak Ruminan Selangor Berhad (KOPERSEL) sebanyak 80 peratus manakala 20 peratus diserahkan kepada orang tengah berkenaan,” katanya.