PENDANG - Nasib malang sebuah keluarga
penoreh getah dari Kampung Paya Mat Inson di sini yang tinggal sehelai
sepinggang ekoran rumah mereka hangus dijilat api dalam kejadian
kebakaran Sabtu lepas mendapat perhatian daripada kerajaan negeri.
Kebakaran kira-kira pukul 1 tengah hari itu menyebabkan Lee Ah Kai,
58, dan isterinya, D. Prim, 52, bersama enam anak dan seorang cucu kini
terpaksa berteduh di dalam khemah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat,
Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya
Yaacob yang melawat keluarga berkenaan hari ini berjanji akan memberi
bantuan segera kepada keluarga tersebut bagi meringankan beban
ditanggung mereka.
Beliau berkata, bantuan kewangan itu bagi membantu keluarga berkenaan membaik pulih rumah mereka.
"Kita tidak dapat memberikan sebuah rumah baharu untuk keluarga ini
tetapi dapat menghulurkan bantuan kewangan kepada mereka untuk membaik
pulih rumah yang rosak. Selain itu kami juga akan memberikan bantuan
persekolahan kepada anak dan cucu mangsa," katanya.
Sementara itu Ah Kai berkata, ketika kejadian dia bersama keluarga
berada di Sik, dekat sini untuk upacara keagamaan dan hanya mengetahui
kejadian itu setelah mendapat panggilan daripada jiran.
Katanya, dia bergegas pulang dan amat terkejut serta hiba apabila melihat rumah mereka musnah dijilat api.
"Jiran saya hanya sempat menyelamatkan sebuah motosikal dan kereta
manakala kelengkapan rumah yang lain tidak dapat diselamatkan," katanya.
Menurut Ah Kai, dia sendiri tidak mengetahui punca yang menyebabkan rumah yang didiami sejak hampir 30 tahun lalu itu terbakar.
Katanya, akibat kejadian berkenaan, keluarganya menanggung kerugian
kira-kira RM50,000 dan berharap ada pihak yang bersimpati dengan mereka
agar rumah yang musnah itu dapat dibina semula.
"Saya berasa lega apabila ramai jiran yang membantu dengan memberikan
sumbangan, malah mereka juga yang membina khemah untuk kami berteduh.
Kami sekeluarga amat sayangkan rumah ini dan tidak mahu berpindah ke
tempat lain," katanya. -Utusan