ALOR SETAR - Sebanyak RM8.3 juta
diperuntukkan oleh kerajaan Pusat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM) sejak awal tahun ini untuk membantu golongan tidak bernasib baik.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat,
Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya
Yaacob berkata, bantuan diberikan kepada penerima yang layak di seluruh
negeri.
Katanya, kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah rakyat dan berusaha membela nasib golongan itu.
"Ini merupakan bantuan bulanan yang diberikan melalui JKM kepada
penerima bagi membantu meringankan beban rakyat," katanya di sini
baru-baru ini.
Beliau juga menggesa agar pemimpin setempat bergerak aktif dalam
mengesan penduduk di kawasan mereka yang memerlukan bantuan agar
tindakan sewajar dapat diambil.
"Kita akan membantu mereka yang layak jadi semua anggota masyarakat
perlu memainkan peranan termasuk pemimpin di kawasan masing-masing untuk
mengesan orang susah seperti pesakit terlantar atau ibu tunggal yang
miskin," katanya.
Beliau pada masa yang sama menyeru agar syarikat korporat tampil
menghulurkan bantuan kepada golongan tidak bernasib baik ini sebagai
salah satu daripada khidmat sosial mereka. -Utusan