KOTA BHARU - Pas Kelantan akan mengambil tindakan tegas
dengan memecat mana-mana ahli parti itu sekiranya terdapat bukti mereka
terlibat dalam menyebar dan menganut fahaman Syiah.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah
menegaskan, Pas memandang serius perkara tersebut dan tidak akan
teragak-agak memecat mereka yang terlibat.
Beliau berkata, sebelum ini kepimpinan Pas juga telah menyebut
mana-mana ahli parti itu yang berpegang kepada ajaran Syiah diminta
keluar daripada Pas. Itu pendirian asas Pas sejak daripada dahulu.
Katanya, daripada segi agama, Syiah memang ditolak oleh Ahli Sunnah
Wal Jamaah dan rakyat Malaysia serta ahli Pas sendiri sememangnya
berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Ujarnya, Pas sejak daripada dahulu menolak fahaman Syiah ini
memandangkan dari segi agama fahaman berkenaan jelas menyeleweng dan
banyak kesilapan dalam akidah.
"Kalau ada bukti kita akan pecat mereka (ahli Pas) yang menganut
fahaman Syiah, sekarang kita tidak mempunyai bukti di kalangan ahli Pas
yang mengamalkan Syiah, walaupun terdapat tohmahan bahawa ada pimpinan
dan ahli Pas ini yang mengamalkan Syiah.
"Kita tidak ada bukti jadi kita tidak boleh bertindak semata-mata di
atas dakwaan dan tohmahan itu sahaja. Sehinga kini kita juga tidak ada
laporan, kalau ada kita akan siasat," katanya kepada pemberita selepas
mesyuarat Exco di sini hari ini. -Utusan