Pada bulan Ramadhan di zaman 80'an dulu, sewaktu tiada telefon bimbit, sms dan sebagainya, kita sebok ke hulu ke hilir naik turun pusat membeli-belah dan kedai-kedai berhampiran mencari kad hari raya.
Bukan apa, kita takut kad raya yang dihantar tidak sempat tiba ke rumah rakan sahabat handai, bukan? Maklumlah, posmen bekerja sambil berpuasa, kadang-kala ada pula yang "tersangkut" di mana-mana.
Dalam banyak-banyak kad raya, ramai yang memilih kad raya berkonsepkan kartun yang selalu mencuit hati dengan pantun dan ungkapan yang melucukan. Contohnya, "pagi Jumaat cukur ketiak, sempena raya minta maaf ye awakkkk..!!!"
Untuk ibu dan ayah pula, kad raya yang ada kata-kata penuh syahdu syahdan sampai menitik airmata pula menjadi pilihan kita. Misalnya, "halalkan segalanya ayahanda dan bonda, dari anakandamu yang jauh di perantauan". Padahal, kita tinggal di sebelah taman perumahan mereka saja!
Lebih mengharukan ialah kad raya yang diberi percuma oleh pejabat untuk para staf. Ada yang sampai sanggup berhenti kerja sebab dia dapat sedikit saja kad raya dari boss, sedangkan kawan dia dapat lebih. Kadang-kadang bila dapat sama rata, sampul surat pula tak cukup. Haru sungguh..!
Yang paling menarik ialah kad raya untuk untuk kekasih hati. Kad paling laku adalah yang ada muzik. Tidak kurang juga ada yang membeli kad raya besar saiz gergasi, kononnya makin besar kadnya makin besar cintanya...!
Namun yang pasti di zaman millenium ini, walaupun kad raya susah untuk dicari, kad lain masih banyak dan mudah diperoleh di pasaran. Contohnya kad kenduri kahwin, kad "touch n go" dan kad keahlian pusat membeli-belah. Cuma ia tak boleh dihantar sempena Aidilfitri sajalah, kan?