Mahkamah pilihan raya di Kota Kinabalu hari ini membenarkan petisyen
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang pertama setakat ini dan sekaligus
memberi laluan kepada pilihan raya kecil di Sabah bagi kerusi DUN Klias.
Keputusan itu pastinya akan menyebabkan bantahan daripada Pakatan
Rakyat (PR) yang setakat ini, semua petisyen difailkan pakatan itu
dibuat dengan dikenakan kos tinggi.
Ini adalah petisyen pertama yang berjaya di antara 69
petisyen difailkan pembangkang PR dan Barisan Nasional (BN) selepas
tamat PRU13 pada 5 Mei lalu.
Petisyen itu difailkan calon BN, Isnin Aliasnih yang memperolehi 6,182 undi berbanding Lajim, 6, 324 undi.
Hakim Yew Jen Kie bagaimanapun membuang petisyen difailkan Lajim yang mencabar keputusan kerusi Parlimen Beaufort.
Lajim tewas di kerusi itu apabila calon BN, Datuk Azizah Mohd Dun memenanginya.
Yew turut membuang petisyen Isnin yang difailkan terhadap pegawai
pilihan raya (RO) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan
memerintahkannya membayar kos RM10,000 setiap seorang.
Hakim berkata, Isnin dalam permohonannya tidak menjelaskan bagaimana
tindakan RO dan SPR memberi kesan terhadap keputusan kerusi Klias.
Lajim boleh membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan terhadap kedua-dua keputusan itu.
Dalam pilihan raya lalu, bagi negeri Sabah, BN memenangi 48 kerusi sementara pembangkang menang 12.