ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul
Razak hari ini dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini
bagi meneruskan rawatan selepas lebih tiga bulan dirawat di Hospital
Pulau Pinang (HPP) akibat kompilasi diabetis yang menyebabkan
kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau berusia 69 tahun itu
tiba di HSB dari HPP kira-kira pukul 11.15 pagi dengan ditemani anak
lelaki beliau dan ahli keluarga terdekat.
Difahamkam, urusan pemindahan tersebut berjalan lancar dengan
keadaan kesihatan beliau stabil sepanjang perjalanan yang mengambil
masa kira-kira 45 minit itu.
Bekas Setiausaha Akhbarnya, Mohd. Helmi Khalid berkata, semalam
mereka dimaklumkan bahawa Azizan akan dipindahkan ke HSB ekoran tahap
kesihatannya semakin pulih.
Katanya, keadaan kesihatan Azizan bertambah baik dan luka-luka pembedahan di kedua-dua belah kakinya sudah kering.
"Beliau sudah mampu berkomunikasi dengan orang ramai yang melawatnya
tetapi masih perlu berada di bawah pemerhatian rapi doktor," katanya
di sini hari ini.
Mohd. Helmi berkata, buat masa ini doktor tidak membenarkan Azizan
menerima terlalu ramai pelawat bagi membolehkan beliau berehat. -
UTUSAN