ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir
memberi jaminan bahawa beliau tidak akan memberi projek perniagaan di
negeri ini kepada anggota keluarganya.
Kata Mukhriz beliau mahu mengelakkan keadaan yang boleh menimbulkan
konflik kepentingan kepada dirinya jika ada anggota keluarganya mendapat
projek perniagaan di negeri ini.
“Setakat ini tidak ada seorang pun ahli keluarga saya nak buat
apa-apa projek di sini. Saya harap ia akan kekal macam tu. Kalau tak, ia
akan buat saya serba salah kerana saya pasti menyinggung perasaan
mereka.
“Yang saya utamakan kepentingan rakyat. Kalau terpaksa pilih
kepentingan rakyat dan kepentingan keluarga dalam soal perniagaan sudah
tentu saya pilih rakyat. Jadi jika nak elakkan menyinggung perasaan
mereka lebih baik tidak timbul keadaan seperti itu (anggota keluarga
dapat projek),” katanya pada sidang media di sini sempena 100 hari
beliau sebagai Menteri Besar Kedah.
Bagaimanapun, beliau mungkin akan meminta nasihat daripada anggota
keluarganya kerana kepakaran mereka dalam bidang tertentu amat berguna.
Mengenai isu perumahan di negeri ini, Mukhriz berkata kerajaan negeri
akan mengekalkan dasar 50:50 bagi pemilikan rumah untuk bumiputera dan
terbuka, yang dilakukan oleh kerajaan negeri pimpinan PAS sebelum ini,
dan bukan kembali kepada dasar 30:70 yang dilakukan kerajaan Barisan
Nasional (BN) sebelum ini.
“Dasar rumah, kita masih amal 50:50. Dalam hal perumahan ini banyak
keperluan dan permintaan di kalangan bumiputera. Kami nak ratio penduduk
bumiputera di kawasan-kawasan bandar dikekalkan.
“Sebab itu amalan 50:50 yang dimulakan PAS diteruskan. Memang ia
diteruskan dari segi dasar tetapi dari segi pendekatan mereka (kerajaan
PAS) gagal. Dalam hal ini kita juga kena pastikan kepentingan bukan
Melayu dijaga… banyak cara lagi untuk diimbangi sebaik mungkin,”
katanya.
Mukhriz berkata dasar 50:50 itu boleh mengelakkan tanah rizab Melayu
terpaksa ditukar dengan tanah di tempat lain berbanding dasar 30:70 yang
memerlukan tanah rizab Melayu ditukar.
“Dalam Alor Setar boleh dikatakan semua tanah rizab Melayu. Kita nak
penduduk di bandar terutama di Alor Setar kekal dengan demografi
sekarang. Tak nak timbul masalah Melayu tinggal di luar bandar, bukan
Melayu di bandar. Bagi Kedah, ini keadaan yang tak boleh diterima,”
katanya.
Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata kerajaan Kedah sedang
mengenal pasti tanah bukan sawah yang sesuai untuk dimajukan berikutan
negeri ini merupakan sebuah negeri pertanian dengan tanah yang luas
digunakan untuk penanaman padi.
“Buat masa ini masih ada tanah bukan bendang yang boleh diusahakan
sebagai taman industri. Contohnya di Bukit Kayu Hitam ada 3,000 hektar.
Itu kita sedang usahakan,” katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) untuk membangunkan tanah milik
agensi kerajaan Persekutuan itu yang berada dalam kawasan pinggiran
Mada.
“Ia melibatkan 8,000 hektar. Kawasan-kawasan pinggiran Mada yang
berada di sekeliling bandaraya Alor Setar boleh dilaksanakan untuk
tujuan pembangunan. Kita boleh runding dengan Mada,” katanya.