ALOR SETAR - Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk
memilih rektor baharu Kolej Universiti Insaniah (Kuin) bagi
menggantikan Prof. Datuk Dr. Jamil Osman yang meletak jawatan pada Mei
lalu.
Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, jawatankuasa
berkenaan dianggotai oleh tujuh panel iaitu empat orang menerusi
lantikan Kementerian Pendidikan dan masing-masing seorang dari Pejabat
Menteri Besar, Exco kerajaan negeri serta Senat Kuin.
Kata beliau, meskipun Kuin merupakan sebuah institusi pengajian
tinggi (IPT) swasta, namun pendekatan dalam pemilihan rektornya adalah
mengikut amalan IPT awam yang disyorkan kementerian dengan penubuhan
jawatankuasa tersebut.
"Mereka akan menilai senarai empat atau lima calon dari latar
belakang berbeza dan berkelayakan sebelum memilih seorang paling layak
untuk menerajui Kuin sebagai rektor baharu.
"Saya meminta perkara ini disegerakan dan difahamkan mesyuarat
pertama jawatankuasa ini adalah pada 6 Ogos ini," katanya ketika
ditemui Utusan Malaysia dalam Majlis Sahur Perdana Dewan Undangan
Negeri (DUN) Ayer Hitam yang disertai kira-kira 500 orang di Kampung
Imam di sini awal pagi ini. - UTUSAN