Allahyarham Ustaz Azizan dikebumi selepas Asar

Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Azizan, 69, yang dilaporkan kritikal semalam meninggal dunia kira-kira pukul 11.10 pagi tadi.

Jenazah akan dikebumikan selepas solat asar di pusat perkuburan Islam, Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, bersebelahan dengan kubur bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadhil Mohd Noor.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar di sini hari ini. 

"Al-Fatihah. Takziah kepada keluarga Tan Sri Azizan Abdul Razak atas pemergian arwah, semoga roh beliau dicucuri rahmat," katanya dalam akaun Twitter miliknya, hari ini.

Azizan, 69, yang dilaporkan kritikal semalam akibat masalah jantung, meninggal dunia hari ini pada kira-kira pukul 11 pagi.

Pada awal Mei lalu, Azizan yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Kedah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dikatakan mendapat jangkitan kuman di kaki dan mendapat rawatan di Kedah Medical Centre (KMC). 

Selain Perdana Menteri, ucapan takziah juga dizahirkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada keluarga Allahyarham Azizan.

"Al-Fatihah. Takziah kepada Keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak. Semoga beliau ditempatkan bersama orang orang yang beriman," katanya dalam akaun Twitter miliknya, hari ini.