Pelakon dan juga anak bongsu kepada penyanyi Rohana
Jalil, Kilafairy yang dihambat kontroversi ekoran daripada video
kononnya dia tidak memakai seluar, memberitahu isu tersebut tidak
menjejaskan karier dan perniagaan fesyennya yang baru sahaja bermula.
"Saya tak ambil kisah pun dengan kritikan itu dan ianya tak menjejaskan kerjaya mahupun perniagaan saya.
"Lagipun video tu sebenarnya adalah sesi fotografi untuk tujuan
mempromosikan baju jenama fesyen saya. Memang nampak macam saya tak
pakai seluar tapi sebenarnya pakai baju-t dengan legging' yang berwarna
kulit. Cuma orang ingat saya tak pakai seluar," katanya seperti yang
dipetik dari Malaysian Digest.
Aktres yang terkenal dengan imej seksi dan mendapat jolokan Angelina
Jolie Malaysia itu turut meminta maaf kepada pihak yang tersinggung dan
terganggu dengan video tersebut selain sudah memadamkan video tersebut
dari akaun Instagram miliknya.
Kontroversi tersebut tercetus pada bulan Ramadan lalu apabila Kilafairy
atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jangir Khan telah memuat naik sebuah
video yang memaparkan pelakon berusia 21 tahun itu memakai baju sambil
menunjukkan pelbagai gaya.
Video tersebut menjadi isu apabila pakaian yang dipakainya itu menampakkan paha dan kelihatan seperti tidak memakai seluar.
Kilafairy juga bercadang mahu menggunakan khidmat model untuk koleksi
jenamanya, Rack pada masa akan datang agar isu yang memberi pengajaran
buat dirinya ini tidak berulang.
"Saya akan lebih berhati-hati selepas ini dan mungkin untuk promosi
akan datang saya rasa lebih senang kalau saya gunakan model saja."