Jawatan Ketua UMNO Bahagian Baling menyaksikan
pertembungan satu lawan satu antara penyandang, Datuk Abdul Azeez Abdul
Rahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Datuk Azmi Che Husin
dalam pemilihan parti bulan depan.
Pertembungan dua penjuru itu ekoran penarikan diri seorang lagi calon, Nasri Baharom semalam.
Dalam pada itu Azmi berkata, beliau menawarkan diri untuk bertanding
demi perjuangan politik UMNO agar sentiasa relevan dan berdiri teguh
membela nasib negara, bangsa dan agama.
Kerana permintaan akar umbi juga saya yakin untuk bertanding kerana
mereka mahukan perubahan dari segi kepimpinan," katanya ketika ditemui
di pejabat ADUN Bayu di sini hari ini.
Menurut Azmi, beliau juga berhasrat meninggalkan UMNO kepada
generasi akan datang sebagai sebuah parti Melayu yang kuat dan tidak
mahu budaya yes man atau angguk kepala menjadi sebati dalam kalangan
ahli-ahlinya.
Kita perlu melatih diri sendiri dan juga ahli-ahli UMNO dengan
semangat juang yang tinggi dengan memberikan kekuatan dengan cara yang
tersendiri kepada akar umbi," kata Azmi.
Sementara itu, Pengerusi Kedai Kain Rakyat 1Malaysia, Mohd. Noor
Mohd Amin yang bertanding jawatan Exco Pemuda UMNO dan Ketua Pemuda UMNO
Bahagian Baling turut menjelaskan, beliau menawarkan diri bertanding
adalah demi agama, bangsa dan negara.
Saya terpanggil untuk bertanding bagi mewakili anak muda di luar
bandar dengan hala tuju untuk menyeimbangkan pegangan di dunia dan
akhirat kerana golongan muda memerlukan akhlak yang baik sebagai
pemimpin masa depan," katanya.