Bekas Presiden US ingat Mandela sudah mati

Washington: Presiden Amerika Syarikat ke-41, George W Bush tersilap mengumumkan kematian bekas Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela pagi kelmarin. 

Perkara itu berlaku apabila jurucakap Bush, Jim McGrath tersilap membaca tajuk berita di akhbar Washington Post.

“Kenyataan Bush itu dibuat ekoran kesilapan dalam membaca tajuk berita di Washington Post. Kesilapan bodoh daripada saya. Minta maaf kepada semua,” tulis McGrath di Twitter. 

Kenyataan asal berbunyi: 
“Barbara dan saya berdukacita dengan pemergian seorang daripada pemimpin paling hebat pernah kami kenali.  

“Saya kagum dengan Nelson Mandela yang mampu memaafkan mereka yang menghukumnya.

“Dia menjadi contoh individu yang sangat pemurah. 

“Mandela tabah dan mengubah sejarah negaranya. Barbara dan saya sangat menghormati Presiden Mandela dan mengucapkan takziah kepada keluarganya dan semua pemimpin Afrika Selatan.” 

Bagaimanapun, pejabat presiden Afrika Selatan membetulkan kenyataan itu dengan berkata Mandela masih hidup.

“Ia jelas sekali tidak benar. Kami melihatnya sebagai kesilapan dan tidak akan membesarkan hal itu,“ kata jurucakap pejabat presiden, Mac Maharaj.

Mandela dibawa pulang dari hospital kelmarin selepas dirawat sejak Jun lalu akibat jangkitan paru-paru. Keadaannya masih kritikal. - Agensi