Sintok: “Saya tidak mahu kecacatan diri
menjadi penghalang mengejar cita-cita untuk menjadi seorang pensyarah
atau kontraktor berjaya. Memang wujud rasa bimbang apabila berjauhan
dengan keluarga yang banyak membantu sebelum ini.”
Begitu kata pelajar cacat penglihatan, Harziah Khalid Yunus, 22,
dari Tuaran, Sabah, yang mendaftar masuk untuk mengikuti kursus Ijazah
Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kepujian) bagi sesi akademik
2013/2014 di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, semalam.
Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, dia yang mengalami masalah cacat penglihatan sejak dilahirkan turut mengakui perasaannya berbelah bahagi ketika menerima tawaran berkenaan kerana bimbang kampus UUM tidak menyediakan kemudahan untuk golongan orang kelainan upaya (OKU) sepertinya.
Menurutnya, timbul perasaan ragu-ragu dalam dirinya untuk menerima
tawaran menyambung pengajian selama empat tahun di institusi pengajian
tinggi awam (IPTA) berkenaan apabila memikirkan keadaan diri yang tidak
sempurna seperti insan lain.
“Memang saya bimbang, apatah lagi terpaksa berjauhan dengan keluarga yang berada di Sabah, tetapi saya kuatkan semangat dan berkeyakinan untuk melanjutkan pengajian di sini walaupun pada masa sama, saya juga menerima tawaran belajar di universiti lain.
“Pada masa sama, saya menjangkakan pelbagai cabaran bakal ditempuhi sepanjang pengajian di UUM termasuk kekurangan bahan rujukan dalam tulisan Braille, namun saya yakin mampu menghadapinya jika ada bantuan rakan dan pensyarah kelak,” katanya.
Harziah berkata demikian ketika ditemui selepas sesi pendaftaran
kemasukan pelajar baru sesi 2013/2014 UUM di Dewan Penginapan Pelajar
(DPP) Petronas, di sini.
Menurutnya, dia tidak mahu menjadikan kekurangan diri sebagai beban untuk berjaya dalam bidang pelajaran, malah mahu membuktikan pelajar buta sepertinya juga mampu untuk mengejar cita-cita.
Katanya, dia menjadikan tokoh akademik negara dan pakar ekonomi
yang juga cacat penglihatan seperti Allahyarham Prof Ismail Salleh
sebagai idola dan pendorong selama ini.
“Saya yakin dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran di kampus ini dan menjalani kehidupan sebagai mahasiswa UUM walaupun mungkin pada awalnya akan rasa sedikit kesukaran.
“Selain itu, saya juga bersyukur kepada pihak pengurusan UUM kerana prihatin apabila menempatkan saya di DPP yang menyediakan kemudahan lengkap termasuk kemudahan pengangkutan ke kelas,” katanya.
Memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.42 menjadikan Harziah anak pertama dalam keluarga yang berjaya menyambung pelajaran hingga ke universiti, manakala tiga lagi adiknya masih belajar di sekolah menengah.
Selain Harziah, seorang lagi pelajar OKU yang turut diterima menyambung pelajaran di UUM iaitu Elvy Nellysha Bahaman, 20, turut tidak menjadikan alasan menghadapi masalah pendengaran sejak kecil untuk menghalangnya menjadi seorang pendidik.
Dia yang dipilih mengikuti pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Kepujian) kini bergantung pada alat bantuan pendengaran ketika berurusan dengan orang ramai.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Madya Dr Abdul Malek Abd Karim berkata, 3,836 pelajar baru diterima masuk di peringkat ijazah pertama membabitkan 3,359 pelajar tempatan dan 477 adalah pelajar antarabangsa untuk sesi akademik kali ini. -Metro