Kuala Lumpur: “Saya tak mahu masuk campur
urusan Julfekar dan Farawahida kerana apa jua insiden yang berlaku
antara mereka berdua, tiada kena mengena saya.
Perbalahan mereka berdua
tercetus pada awal 2009 dan saya kenal Julfekar pada penghujung 2009. Jadi saya tidak terbabit dalam hal mereka berdua,” tegas penyanyi Min
Yasmin, 25 atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz.
Julfekar atau nama penuhnya Julfekar Ahmad Shah seorang komposer
dan penulis lirik pernah menjadi pengurus Farawahida selama lima tahun
dan tiba-tiba tercetus perbalahan antara mereka sehingga timbul kes
ancaman dan ugutan berlarutan ke mahkamah.
Kini Farawahida
menguruskan kerjaya seninya sendiri sementara Julfekar pula menguruskan
kerjaya seni Min Yasmin.
Jelas Min, dia tidak pernah mengenali
Farawahida dan walaupun selepas dia berkenalan dengan Julfekar dan
menjadi artis syarikat rakaman milik komposer itu, Millenium Arts. Malah
Min tidak pernah ambil tahu episod suram hubungan Julfekar dengan
Farawahida.
“Ketika kejadian itu berlaku itu saya belum wujud lagi dalam hidup mereka dan selepas saya mengetahuinya pun, saya tak mahu tahu hal mereka. Saya hanya mahu fokus pada kerjaya kerana bagi saya apa yang sudah berlaku biarlah ia berlalu.
“Saya tak tahu apa yang dia tak puas hati dengan saya dan Julfekar
lagi kerana kami berdua tidak pernah ambil tahu mengenainya lagi. Dia
yang sering merentan-rentan dalam Facebook sehingga Julfekar tak tahan
lagi.
“Walaupun masing-masing tidak menyebut nama, tetapi faham siapa yang dimaksudkan. Namun, Julfekar tidak membalas sebarang kata-kata Farawahida sama ada dalam Facebook ataupun Twitter. Baru-baru ini saja Julfekar membalasnya dalam Facebook kerana dia dah tak tahan,” katanya.
Menurut Min, dia juga ada membuat kenyataan balas namun bukan niatnya untuk bermusuh dengan sesiapa, sekadar memberi sedikit pesanan.
“Dalam Twitter, saya tulis “perkara yang lepas biarlah ia berlalu,
jangan diungkit lagi buat malu diri sendiri” dan tiba-tiba dia mengamuk
lagi,” katanya. -Metro