Gadis Melayu dinobat Ratu Cantik Muslim Dunia

SEORANG gadis Melayu Nurul Husna Zainal Abidin berjaya meraih gelaran World Muslim Woman Netizen 2013 ketika menyertai Pertandingan Ratu Cantik Muslimah Dunia yang diadakan di Jakarta, Indonesia, 18 September lalu.

Dengan wajahnya menawan dan senyumannya yang meyakinkan serta gayanya yang persis model profesional berjaya meletakkan beliau meraih gelaran itu.

Peserta Nigeria Obabiyi Aishah Ajibola, 21, dinobatkan sebagai juara meraih gelaran Islamic Beauty Pageant 2013.

Seramai 20 orang wanita dari enam negara termasuk Indonesia, Brunei dan Iran menyertai pertandingan berkenaan bagi merebut gelaran juara.

Dalam pertandingan itu pengetahuan dan kemahiran mereka tentang Islam turut diuji.

Nurul berkata, kemenangan meraih gelaran World Muslim Woman Netizen 2013 adalah pengalaman berharga buat dirinya.

Nurul merupakan pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan.

Ini adalah penyertaan pertama peserta Malaysia dalam pertandingan anjuran bekas hos utama stesen televisyen Indonesia, Eka Shanti yang dipecat kerana keengganannya menanggalkan tudung apabila diarah berbuat demikian ketika bertugas.

Ia mula dipertandingkan tiga tahun lalu.

Pertandingan tahun ini disifatkan sebagai sebahagian daripada protes terhadap acara Ratu Cantik Dunia yang sepatutnya diadakan di Jakarta namun terpaksa ditukar lokasinya di Bali akibat ditentang keras oleh puak konservatif Islam.

Jadi bagaimana acara tersebut berbeza dengan pertandingan ratu cantik yang lain?

Pada malam peringkat akhir, pembukaan acara itu dimulakan dengan bacaan al-Quran sebelum peserta mula berjalan ke atas pentas dengan memakai gaun malam yang mencerminkan imej muslimah dengan pelbagai gaya hijab.

“Sesetengah peserta berjalan dengan keyakinan tinggi namun ada juga peserta yang dilihat kekok berjalan memakai kasut tinggi dan mengenakan gaun labuh,” menurut laporan Jakarta Post.

Uniknya juara bagi pertandingan tersebut dipilih oleh tetamu kehormat iaitu juri terdiri daripada 100 kanak-kanak anak yatim.

Menceritakan pengalamannya, Nurul berkata, pertandingan itu menekankan betapa Islam itu indah dan semua aktiviti seperti bacaan al-Quran dijalankan berlandaskan syariat Islam.

Selain itu, gadis berusia 21 tahun ini turut berpandangan acara yang baik sebegini boleh diadakan di negara ini.

“Saya rasa sekiranya kerajaan mengadakan acara demikian pasti menerima sambutan mengalakkan kerana ia banyak mengajar mengenai ilmu Islam tanpa meminggirkan gaya fesyen berhijab.

“Ia tidak salah kerana boleh memberi peluang kepada muslimah di luar sana menimba pengalaman baru tambahan pula kerajaan boleh mengambil kesempatan untuk mempromosikan pelancongan negara,” kata gadis yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu.

Nurul yang berjaya melayakkan diri sebagai 10 finalis berkata, dia mengetahui mengenai penganjuran acara itu melalui rakannnya.