Jenayah makin kurang di Kedah - Aman Makmur

ALOR SETAR - Indeks jenayah di Kedah menurun sebanyak 12 peratus dalam tujuh bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, dalam tempoh sama juga sebanyak 5,214 kes dicatatkan berbanding 5,933 kes pada tahun lalu.

"Bagi kes yang diselesaikan untuk Januari sehingga Julai lalu adalah sebanyak 2,199 kes berbanding 2,777 kes tahun lalu.

"Jenayah kekerasan mencatatkan sebanyak 1,117 kes berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 1,153 kes dengan kadar penurunan sebanyak 3.12 peratus.

"Penurunan indeks jenayah ini adalah kerana kita telah menyelesaikan banyak kes kecurian kenderaan sekali gus membendung jenayah lain berkaitan," katanya selepas majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab akan memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan Pentadbiran Bukit Aman mulai 9 September ini dan tempat beliau diambil alih Datuk Zaleha Abdul Rahman berkuat kuasa hari ini.

Zaleha sebelum ini memegang jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan Pentadbiran Bukit Aman.

Abdul Ghafar mula berkhidmat di negeri ini pada 2007 sebagai Ketua Jabatan Pengurusan sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Daerah Kota Setar pada 2008 seterusnya menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Kedah pada 2010. -Utusan