Kuala Lumpur: “Kami masih berkawan seperti
biasa. Soal bercinta, tiada komen,” kata pengarah filem KL Gangster 2,
Syamsul Yusof mengenai hubungan bersama pelakon Puteri Sarah Liyana
Megat Kamaruddin.
Anak produser terkenal, Datuk Yusof Haslam ini menyatakan dia
bersama pelakon wanita itu yang pernah membintangi drama bersiri,
Evolusi KL Drift The Series terbitan Skop Production Sdn Bhd hanya
sebagai kawan.
Ditanya mengenai tindakan Puteri Sarah yang kini tampil dengan imej bertudung sehingga khabar angin mengatakan pelakon berusia 28 tahun ini bersedia menamatkan zaman bujang, Syamsul enggan mengulas lanjut.
Syamsul yang masih tertekan emosi susulan filem baru arahannya itu
dimuat turun secara haram menerusi Internet sejak malam 28 Ogos lalu,
menyatakan dia lebih selesa bercerita mengenai karier berbanding soal
peribadi buat masa ini.
Hubungan Syamsul dengan Puteri Sarah hangat diperkatakan media dan peminat selepas rapat sekitar penghujung tahun lalu. Namun, insiden pergaduhan antara pelakon wanita itu dengan bekas kekasihnya Ammar Alfian Aziz Mohd Zaki masih berpanjangan.
Syamsul yang dihubungi, semalam menyatakan dia masih terkejut dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan pautan menawarkan muat turun filem barunya itu di Internet.
Akhbar ini semalam turut melaporkan filem genre aksi lakonan utama
Aaron Aziz bersama Rosyam Nor itu turut dicetak rompak dalam bentuk
cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) dijual serendah
RM5 di pasar borong Wakaf Che Yeh, Kota Bharu.
Katanya, dia belum bersedia memberi komen lanjut mengenai dua kejadian ini kerana masih terkejut.
“Saya kini masih dalam proses mengumpul kembali semangat yang
hilang. Dugaan Tuhan kali ini betul-betul menguji saya,” katanya.
Katanya, dia mengharapkan doa rakan dan peminat agar dia bersama keluarga dan pelakon yang terbabit dalam filem ini terus tabah berdepan dugaan.
“Solat hajat sudah dilakukan kelmarin, tetapi masih terasa ujian Tuhan. Apa yang berlaku bukan mudah,” katanya.
Dalam pada itu, Syamsul juga menjelaskan kebocoran filem terbabit bukan berpunca daripada cakera keras komputer riba miliknya yang rosak ketika melakukan proses suntingan di Bangkok, Thailand sebelum ini.
“Ia tiada mengena dengan cakera keras kerana masa ia rosak, proses suntingan belum siap lagi,” katanya. -Metro