Biarpun dia cuba "speaking London", tiada maaf bagi Siti Aisya Adam, 24, yang biadap memaki hamun seorang pengawal keselamatan yang menjalankan tugas dengan amanah.
Kata orang, terlajak perahu boleh diundur. Tapi kalau sudah terlajak kata, buruk padahnya.
Itulah yang harus diterima oleh Siti Aisya Adam, 24, isteri pemain
bola sepak Nor Shahrul Idlan Talaha atau Mat Yo selepas kejadian
memaki-hamun dan menendang pengawal keselamatan, Azman Md. Nayan, 49, di
lapangan terbang Subang, 12 September lalu.
Permohonan maaf yang dibuatnya semalam dan disiarkan di dada-dada
akhbar nampaknya tidak berjaya melembutkan hati Pengurus Cawangan
Valiant Force Sdn. Bhd, Mukhveer Singh Gill yang bertekad untuk membawa
kes itu ke mahkamah.
Melalui laporan Harian Metro hari ini, Mukhveer berkata, pendirian
itu diambil kerana Siti Aisya terlebih dulu mengugut untuk memanjangkan
insiden itu ke mahkamah.
“Sebagai syarikat kawalan keselamatan yang bertanggungjawab,
kami akan melakukan apa saja untuk mempertahankan kakitangan kami,”
katanya.
Rakaman pertengkaran Siti Aisya dengan Azman menjadi perhatian ramai
selepas dimuat naik ke Internet dan disebar secara meluas oleh pengguna
laman sosial Facebook serta YouTube.
Wanita itu bagaimanapun menafikan bahawa dia yang memuatnaik video
tersebut dan mendakwa ia dilakukan oleh orang lain, namun enggan
mendedahkannya.
Mukhveer turut mendedahkan sistem pesanan ringkas (SMS) yang diterima dari Aisya yang berbunyi:
“pls stop calling. I have clearly video with sound my husband
just wanna protect n of coz will proceed to court. just wait for our
lawyer. TQ”
Nampaknya, perkara ini akan berpanjanganlah jawabnya. Apa-apa pun
kita tunggu dan lihat sahaja sejauh mana hangatnya kes ini jika ia
benar-benar dibawa ke mahkamah nanti.