Tongkat Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat, yang didermakan kepada Dewan Pemuda PAS Kota Bharu telah
dibida seorang usahawan pada harga RM15,000.
Tongkat itu dibeli Abdullah Beran, 50, pada program lelongan amal di
sebuah pasaraya, bermula jam 3.00 hingga 6.00 petang semalam.
Lelongan bermula dengan harga RM500 dan akhirnya mencecah RM15,000 tepat jam 6.30 petang.
Pada masa yang sama sebanyak RM4,000 lagi berjaya dipungut pada
program itu hasil lelongan barangan lain termasuk sumbangan orang ramai.
Ketika ditemui, Abdullah mengakui sanggup membeli tongkat yang pernah
digunakan Mursyidul Am PAS itu dengan tujuan membantu mangsa kebakaran
di Kampung Sireh Bawah Lemah.
Jelasnya lagi, beliau berhasrat untuk menggunakan sendiri tongkat berkenaan walaupun tidak menggunakannya sebelum ini.
“Saya memang meminati Tuan Guru, dia ikon saya malah saya sentiasa
mengikuti perkembangan tok guru sejak 25 tahun lalu,” ujarnya.
Beliau tidak teragak-agak untuk membeli barangan peribadi Tuan Guru sekiranya ada yang ingin dijual untuk tujuan amal.
Walaupun tidak selincah sewaktu menjawat jawatan Menteri Besar, tidak
bererti keperihatinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz terhadap rakyat telah
berakhir.
Keperihatinan dan tanda tanggung jawab yang tidak pernah berakhir itu
mendorong Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyerahkan tongkatnya untuk
dilelong baru-baru ini.
Hasrat itu telah disampaikan kepada Dewan Pemuda PAS Kota Bharu
dalam usaha mengurangkan bebanan ditanggung keluarga mangsa kebakaran
Kampung Sireh Bawah Lembah.
Tongkat itu diserahkan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Bharu, Dr
Rosli Alaani Abdul Kader kepada Abdullah sebaik sahaja memenangi bidaan.
Rosli melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada orang ramai yang
mengambil peluang untuk menyampaikan derma melalui kaedah itu.
Jelasnya sumbangan itu akan diserahkan pada mangsa kebakaran yang terlibat dalam waktu terdekat.
“Bagaimanapun kita akan bermesyuarat terlebih dahulu sebelum menyampaikan sumbangan kepada mangsa,” ujarnya.
Pada 6 September lalu, tujuh rumah melibatkan 16 keluarga tinggal
sehelai sepinggang apabila harta benda mereka musnah dalam kebakaran
kira-kira jam 12 tengah hari.